Pemandu mabuk: Rombak polisi sedia ada besar-besaran

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ​Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mendesak agar Kerajaan Malaysia melakukan rombakan besar-besaran terhadap polisi sedia ada, susulan tragedi yang meragut nyawa saudara Amirul Hafiz Omar, 33, akibat dirempuh pemandu mabuk di Klang, Selangor pada Ahad (29 Mac) lepas.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, hukuman sedia ada dilihat masih belum cukup untuk memberi pengajaran dan menjamin masa depan keluarga mangsa. 

Menurutnya, Kerajaan seharusnya mengambil semangat dan prinsip penyelesaian yang dibawa oleh Hukum Islam, iaitu konsep Diyat (pampasan/darah).

“Dalam Islam, nyawa amatlah berharga. Apabila berlaku pembunuhan (termasuk pembunuhan tidak sengaja akibat kecuaian melampau seperti mabuk), pihak yang bersalah diwajibkan membayar Diyat dengan nilai yang sangat tinggi kepada keluarga mangsa. 

“Nilai ini bukan sekadar denda kepada negara, tetapi hak mutlak keluarga mangsa bagi mententeramkan hati yang lara serta menjamin masa depan ekonomi balu dan anak-anak yang ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu mekanisme pampasan mandatori yang setimpal dengan nilai nyawa yang hilang. 

“Jangan biarkan si pelaku hanya dihukum penjara, sedangkan keluarga mangsa terus melarat dan menderita sepanjang hayat. 

“Nasib balu dan anak-anak almarhum Amirul Hafiz mesti menjadi keutamaan dalam tuntutan keadilan ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, DMPM, ujar beliau, menzahirkan rasa amat dukacita dan hiba menyusul berita kemalangan menyayat hati yang itu. 

Tambah beliau, tragedi yang meragut nyawa saudara Amirul Hafiz Omar akibat dirempuh pemandu mabuk sehingga mangsa melambung ke atas bumbung kereta adalah satu kejadian yang sangat tragis dan sukar diterima oleh akal yang waras.

“Kami mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Sesungguhnya, kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang ketua keluarga, tetapi satu tamparan hebat buat seorang balu dan anak-anak yang masih kecil dan ramai. 

“Kami sangat bimbang akan nasib dan masa depan mereka. Tanpa pembelaan yang sewajarnya, bagaimanakah nasib anak-anak ini untuk meneruskan kelangsungan hidup, pendidikan, dan pembesaran mereka?” ujarnya.

Nuridah menyatakan, DMPM mendoakan agar roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. 

“Kami akan terus konsisten memperjuangkan agar undang-undang berkaitan arak dan pemanduan mabuk ini diperketatkan demi keselamatan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2026

- Advertisement -