
KUALA LUMPUR: “Sampai bilakah rakyat perlu terus menjadi korban akibat kegilaan pemandu mabuk? Adakah nyawa rakyat Malaysia semurah itu sehingga kita terpaksa membaca berita ngeri sebegini saban waktu?”
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah, menimbulkan persoalan itu susulan kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33 meninggal dunia pada Ahad (29 Mac) lalu selepas dilanggar kenderaan yang dipandu seorang pemandu mabuk di Klang, Selangor.
“Sampai bilakah rakyat perlu terus menjadi korban akibat kegilaan pemandu mabuk? Adakah nyawa rakyat Malaysia semurah itu sehingga kita terpaksa membaca berita ngeri sebegini saban waktu?
“Kita kehilangan seorang insan. Lebih menyedihkan, sebuah keluarga kehilangan ketua keluarga serta tempat bergantung punca rezeki,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Sehubungan itu beliau menyatakan, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa dukacita dan hiba yang mendalam atas tragedi menimpa Allahyarham Amirul Hafiz, yang mana dalam kejadian itu jasadnya telah tercampak ke atas bumbung kenderaan.
“Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan solihin.
“Kepada keluarga Allahyarham, kami merakamkan ucapan takziah dan simpati yang tidak terhingga. Semoga mereka tabah menghadapi ujian yang amat berat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kes melibatkan Allahyarham Amirul Hafiz bukan sekadar angka statistik, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem penguatkuasaan dalam mengekang ‘pembunuh di jalan raya’.
Menurutnya, berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), trend kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol masih berada pada tahap membimbangkan.
“Walaupun pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan telah dilaksanakan, kekerapan kes yang berlaku menunjukkan seolah-olah tiada rasa gerun dalam kalangan pesalah terhadap undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Justeru, beliau mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, agar tidak sekadar berdiam diri atau mengeluarkan kenyataan retorik.
“Nyawa rakyat adalah amanah di bawah kementerian anda. Kami menuntut pelan tindakan yang lebih drastik serta penguatkuasaan yang lebih agresif.
“Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa melayang sebelum tindakan diambil,” tegasnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan nasib balu dan anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz yang kini kehilangan tempat bergantung.
“Adakah kerajaan akan membiarkan mereka terus merana tanpa pembelaan sewajarnya?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemimpin Islam termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dengan pesanan Saidina Umar al-Khattab RA yang masyhur:
“Sekiranya seekor kambing mati di pinggir Sungai Furat kerana diabaikan, aku bimbang Allah akan menyoalku di akhirat kelak.”
“Jika Saidina Umar takutkan persoalan Allah terhadap seekor kambing, bagaimana kita tidak merasa gerun apabila seorang rakyat mati di jalan raya akibat kecuaian undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan terhadap arak dan pemandunya?
“Setiap titis darah yang tumpah akibat kelemahan tadbir urus ini akan dituntut di hadapan Allah SWT kelak.
“Janganlah kerusi kuasa membutakan mata hati daripada membela nyawa rakyat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa isu pemandu mabuk memerlukan ketegasan tanpa kompromi.
“Kami menuntut keadilan buat Allahyarham Amirul Hafiz Omar serta jaminan keselamatan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2026




















