
SINGAPURA: Isi rumah Singapura bakal membayar tarif elektrik dan gas yang lebih tinggi pada suku kedua 2026 disebabkan oleh kos tenaga yang lebih tinggi, dengan pihak berkuasa memberi amaran tentang kemungkinan peningkatan yang lebih mendadak pada suku-suku berikutnya disebabkan oleh konflik perang di Timur Tengah.
SP Group dalam kenyataan medianya pada Selasa (31 Mac) berkata, tarif elektrik isi rumah dari April hingga Jun, sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Singapura, akan menjadi 0.56 sen setiap kWh lebih tinggi daripada suku sebelumnya.
Harga elektrik kini akan berada pada 27.27 sen setiap kWh untuk suku tersebut, manakala bil elektrik bulanan purata untuk keluarga yang tinggal di flat empat bilik HDB akan meningkat sebanyak S$1.80 (USD1.39).
Sementara tarif elektrik keseluruhan (sebelum GST), termasuk tarif untuk bukan isi rumah, akan meningkat sebanyak purata 2.0 peratus atau 0.52 sen setiap kWh berbanding suku sebelumnya.
Tambah kenyataan SP Group, arif elektrik pada suku-suku berikutnya dijangka akan meningkat lagi apabila kesan penuh harga gas asli yang tinggi digabungkan.
Sementara City Energy dalam kenyataannya, juga pada Selasa pula berkata, tarif gas untuk isi rumah dari April hingga Jun di Singapura akan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya, meningkat sebanyak 0.24 sen setiap kWh sebelum GST.
“Ini akan menjadikan harga kepada 21.92 sen setiap kWh, meningkat daripada 21.68 sen setiap kWh, dari 1 April hingga 30 Jun,” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) dalam lembaran fakta media pada Selasa menyatakan, Singapura banyak bergantung pada tenaga import, dengan kira-kira 95 peratus elektriknya dijana menggunakan gas asli yang diimport, yang juga merupakan bahan mentah utama untuk pengeluaran gas bandar.
“Konflik Timur Tengah yang berterusan telah menegangkan rantaian bekalan bahan api global, menyebabkan harga minyak dan gas asli meningkat dengan ketara, dengan harga bahan api dijangka ‘kekal tinggi pada masa hadapan yang boleh dijangka’.
“Kenaikan kos gas asli oleh itu akan menyebabkan kenaikan harga elektrik dan gas bandar untuk semua pengguna di Singapura,” tegas kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, tarif elektrik dan gas hanya sebahagiannya terjejas oleh kenaikan harga bahan api pada suku kedua kerana tarif elektrik dan gas bandar yang dikawal selia untuk setiap suku ditentukan berdasarkan purata kos bahan api dalam 2.5 bulan pertama suku sebelumnya.
“Ini bermakna tarif elektrik dan gas bandar untuk tempoh April hingga Jun adalah berdasarkan harga bahan api dari Januari hingga pertengahan Mac,” tambahnya.
EMA juga berkata bahawa harga gas asli mula meningkat hanya selepas 28 Februari.
“Disebabkan oleh ‘gangguan meluas’ terhadap pengeluaran minyak dan gas asli di Timur Tengah, harga bahan api dijangka kekal tinggi pada masa hadapan.
“Kami berkemungkinan akan melihat peningkatan selanjutnya dan berpotensi lebih mendadak dalam tarif elektrik dan gas bandar pada suku-suku berikutnya,” katanya.
EMA juga dalam kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa pengguna yang mempunyai kontrak runcit elektrik berkemungkinan akan melihat peningkatan harga apabila memperbaharui kontrak mereka.
“Pihak kami sedang memantau situasi dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan keselamatan bekalan,” ujar kenyataan itu lagi.
EMA juga berkata bahawa ia tidak dapat meramalkan berapa lama konflik perang di Timur Tengah akan berlarutan.
“Oleh itu, pengguna isi rumah dan perniagaan mesti bersedia untuk kos tenaga yang lebih tinggi dan tidak menentu,” tegasnya.
EMA berkata bahawa semua pihak termasuk rakyat boleh memainkan peranan dengan menggunakan peralatan yang lebih cekap tenaga dan menjimatkan tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
“Ini akan membantu mengurangkan kos tenaga dan menyumbang kepada daya tahan tenaga Singapura,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2026




















