
JAKARTA: Indonesia akan mengurangkan program makanan sekolah percuma mulai Selasa (31 Mac) dalam usahanya untuk memperuntukkan berbilion dolar bagi mengatasi tekanan bajet yang disebabkan oleh perang Timur Tengah dan harga minyak yang melambung tinggi.
Program yang memberi makan kepada kira-kira 60 juta kanak-kanak dan wanita hamil dan menyusukan bayi dengan kos hampir sepersepuluh daripada bajet tahunan ini, merupakan projek utama Presiden Prabowo Subianto.
Pada mesyuarat Kabinet pada hujung minggu, para menteri dan Prabowo memutuskan untuk mengurangkan program daripada enam hari seminggu kepada lima hari di sekolah rendah dan menengah mulai Selasa.
Menurut laporan, di kawasan yang mempunyai kadar kekurangan zat makanan yang tinggi, makanan akan kekal tersedia pada hari Sabtu, apabila banyak sekolah Indonesia dibuka dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Tmbalan Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan kerajaan, Nanik Sudaryati Deyang dalam kenyataannya kepada AFP berkata, kangkah berkenaan bakal menjimatkan kira-kira 40 trilion rupiah (USD2.3 bilion).
“Pemotongan itu mungkin akan dikaji semula jika keadaan berubah,” katanya.
Dilancarkan pada Januari 2025, inisiatif tersebut digembar-gemburkan oleh kerajaan Indonesia sebelum ini sebagai cara untuk menangani krisis kekurangan zat makanan dan kebantutan di negara yang mempunyai 284 juta penduduk negara itu.
Program ini mempunyai sasaran untuk memberi makan kepada 83 juta orang, tetapi ia telah menjadi tumpuan selepas beribu-ribu penerima mengalami keracunan makanan.
Kerajaan Indonesia juga sedang mempertimbangkan pilihan untuk membendung penggunaan bahan api memandangkan perang di Timur Tengah telah mengganggu bekalan tenaga global.
Negara ini menghasilkan minyak mentah tetapi merupakan pengimport bersih komoditi tersebut. Ia banyak mensubsidi bahan api dan gas asli untuk pengguna domestik.
Kerajaan setakat ini mempertahankan subsidi yang berjumlah AS$12.3 bilion, mewakili kira-kira lima peratus daripada jumlah bajet tahunan untuk 2026.
Pemerhati mengatakan campur tangan kerajaan mungkin terpaksa memandangkan Indonesia dikehendaki oleh undang-undang untuk mengekalkan defisit fiskalnya di bawah tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar.
Pengiraan subsidi bahan api 2026 adalah berdasarkan harga minyak global AS$70 setong, tetapi harga sejak itu telah melebihi AS$100.
Seorang penyelidik politik dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) yang dibiayai kerajaan, Forman Noor memberitahu AFP bahawa pemotongan program makanan itu menunjukkan bahawa tekanan ke atas kekuatan kewangan negara itu yang berpunca daripada perang di Asia Barat sudah mula dirasai.
“Ini adalah amaran bahawa kita mesti bersedia seperti negara lain. Dan terus terang, kita memerlukan pelarasan kerana kita tidak pernah tahu bila perang akan berakhir, yang pasti akan mendorong harga minyak lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu pada awal bulan ini, jurucakap presiden Prasetyo Hadi berkata kerajaan sedang berusaha untuk memperuntukkan sebanyak 80 trilion rupiah untuk melindungi ekonominya daripada kesan buruk perang di Timur Tengah, tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Menurutnya, langkah-langkah yang dipertimbangkan termasuk mengarahkan pekerja kerajaan bekerja dari rumah satu hari seminggu, mengurangkan perjalanan rasmi dan menggalakkan penggunaan basikal, kereta elektronik dan pengangkutan awam untuk menjimatkan bahan api yang berharga.
Seorang penyelidik Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Deni Friawan berkata penjimatan daripada mengurangkan program makanan percuma itu tidak mencukupi jika kerajaan berhasrat untuk memenuhi had defisit fiskalnya.
“Tanpa perubahan dalam bajet (program) yang besar, saya tidak melihat langkah yang diambil oleh kerajaan, seperti mengurangkan makanan percuma daripada enam kepada lima hari atau satu hari bekerja dari rumah seminggu, sebagai mencukupi untuk menangani defisit yang semakin melebar,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2026




















