
PADANG SERAI: Pembangunan bakat menjadi hala tuju yang sedang dibina Kerajaan Negeri bagi menjadikan Kedah bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi juga pusat kecemerlangan ilmu dan pembangunan bakat untuk masa depan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pembangunan bakat merupakan antara teras utama dalam kerangka The Greater Kedah bagi memastikan negeri ini mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membangunkan industri masa hadapan.
“Kerajaan Negeri Kedah akan terus memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui pembentukan tenaga kerja bersedia industri (industry-ready workforce), pengukuhan kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri serta penyediaan laluan bakat yang lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran EVE International Talent Empowerment Center, di sini.
Menurutnya, Kedah kini terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pembangunan bakat bertaraf antarabangsa menerusi pelancaran EVE International Talent Empowerment Center, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan modal insan serta menyokong pertumbuhan industri masa hadapan.
“Pelancaran EVE International Talent Empowerment Center turut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Kedah sebagai lokasi strategik bukan sahaja untuk pelaburan, malah sebagai pusat pembangunan bakat global, inovasi dan teknologi,” ujarnya.
Dr Haim juga menyatakan, penubuhan EVE International Talent Empowerment Center turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengangkat Kedah sebagai hab pembangunan bakat bertaraf antarabangsa, seiring perkembangan pesat sektor industri, teknologi dan pelaburan.
“EVE International Talent Empowerment Center dibangunkan berteraskan Blueprint of Talent Empowerment 2025–2029 yang merangkumi pelbagai inisiatif termasuk ‘campus lecture series’, forum bakat antarabangsa, pembangunan platform e-pembelajaran serta peluasan kursus ke peringkat pertengahan dan lanjutan,” jelasnya.
Tambah beliau, inisiatif EVE International Talent Empowerment Center itu merupakan hasil siri perbincangan strategik yang telah dimulakan sebelum ini serta dimuktamadkan melalui kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).
Beliau menyatakan, pelancaran pusat berkenaan mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam membina ekosistem pembangunan bakat yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Saya berbesar hati menerima watikah pelantikan sebagai Honorary Dean bagi pusat ini.
“Amanah ini diterima dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab untuk memastikan usaha ini memberi manfaat luas kepada rakyat, khususnya anak-anak Kedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 31//3/2026




















