PAS Johor sasar menangi DUN Simpang Jeram

Mohd Firdaus Jaffar
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Johor kini menumpukan sasaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memenangi DUN Simpang Jeram, kawasan yang pernah menjadi kubu kuat mereka sebelum persempadanan semula mengubah landskap politik.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Johor, Mohd Firdaus Jaffar, berkata selain mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, pihaknya bertekad memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram.

“PAS bukan sahaja bersedia untuk mempertahankan DUN Maharani, malah berusaha memastikan kemenangan Perikatan Nasional di DUN Simpang Jeram.

“DUN Simpang Jeram bukan asing bagi PAS.

“Kawasan ini merupakan sebahagian daripada kesinambungan kawasan lama Sungai Abong yang pernah dimenangi oleh PAS sebelum persempadanan semula dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.

Beliau berkata usaha untuk memenangi DUN Simpang Jeram bukan sekadar strategi politik, tetapi juga komitmen untuk mengembalikan mandat rakyat yang pernah diberikan kepada PAS.

Dalam pada itu, Firdaus menegaskan bahawa perkara ini bukan retorik politik semata-mata.

“Gerak kerja sedang dan akan terus diperkukuhkan melalui kekuatan jentera, kesepaduan gabungan, serta keyakinan rakyat yang semakin matang dalam membuat penilaian.

“PAS Johor kekal fokus, terus bekerja dan melangkah ke hadapan bagi memenangkan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Terdahulu, DUN Simpang Jeram pernah menjadi kubu kuat PAS melalui kemenangan di kawasan Sungai Abong.

Kemenangan tersebut menjadi simbol pengaruh PAS dalam pembangunan kawasan dan pengukuhan sokongan rakyat terhadap parti.

Namun, selepas berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya serta perpecahan dalaman, kerusi ini telah beralih tangan kepada pihak lawan.

Perubahan ini menyebabkan PAS kehilangan pengaruh dalam kawasan yang pernah menjadi kubu kuatnya, sekali gus membuka peluang kepada parti lain memperkukuhkan kedudukan mereka. – HARAKAHDAILY 31/3/2026

- Advertisement -