‘Rakyat perlu bersedia, kerajaan hentikan berpolitik’

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rakyat perlu bersedia dan kerajaan pula mesti berhenti berpolitik dan mula bertindak sebelum krisis ini benar-benar sampai ke dapur rakyat.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata demikian sambil menggesa agar mengambil langkah segera dan menyeluruh bagi menangani potensi krisis minyak dan makanan susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang kini dilihat semakin meruncing.

Menurutnya, konflik yang berlaku ketika ini bukan sekadar melibatkan serangan ketenteraan, sebaliknya memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

“Dua laluan utama perdagangan dunia iaitu Selat Hormuz dan Bab al-Mandeb kini berada dalam keadaan berisiko, sekali gus boleh mengganggu rantaian bekalan antarabangsa.

“Terdapat dua laluan laut yang sangat penting kepada ekonomi dunia. Yang pertama ialah Selat Hormuz. Hampir 20 peratus bekalan minyak dunia melalui selat ini. Apabila konflik tercetus dan laluan ini mula terganggu, harga minyak dunia terus melonjak melebihi USD100 setong,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, apabila laluan Hormuz menjadi berisiko, syarikat perkapalan dan pengeluar minyak dunia mula mengalihkan laluan mereka ke Laut Merah. 

“Arab Saudi meningkatkan penghantaran minyak melalui pelabuhan Yanbu di Laut Merah. Banyak kapal tangki minyak mula mengelakkan Hormuz dan menggunakan laluan Laut Merah untuk sampai ke Eropah dan pasaran dunia.

“Namun Laut Merah juga mempunyai satu lagi laluan sempit yang sangat penting. Namanya Bab al-Mandeb, yang dalam bahasa Arab bermaksud ‘Pintu Air Mata’. Laluan ini menghubungkan Laut Merah ke Lautan Hindi dan menjadi laluan utama kapal dagang dari Asia ke Eropah melalui Terusan Suez.

“Kira-kira 12 peratus perdagangan minyak dunia melalui Bab al-Mandeb, 25 peratus perdagangan kontena dunia melalui laluan ini dan barangan bernilai lebih USD1 trilion setahun bergerak melalui kawasan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, situasi menjadi lebih membimbangkan apabila kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan mula terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan, termasuk memberi bayangan kemungkinan penutupan laluan strategik tersebut.

“Mereka telah melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel dan memberi bayangan bahawa penutupan Bab al-Mandeb juga adalah antara pilihan mereka.

“Ini bermaksud dunia kini berhadapan dengan dua laluan utama perdagangan global yang terancam pada masa yang sama Hormuz terganggu. Bab al-Mandeb pula berisiko ditutup

“Jika kedua-dua laluan ini tidak selamat, kapal-kapal dagang terpaksa menggunakan laluan jauh mengelilingi seluruh benua Afrika melalui Tanjung Harapan. Ini akan menambah minggu kepada perjalanan kapal dan meningkatkan kos penghantaran sehingga berbilion dolar,” katanya.

Sehubungan beliau menegaskan, peningkatan kos itu akhirnya akan ditanggung pengguna, termasuk melalui kenaikan harga petrol, makanan import, baja, bahan binaan serta tambang pengangkutan.

“Justeru, kerajaan tidak boleh memandang ringan situasi berkenaan memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import bagi pelbagai keperluan asas.

“Kerajaan perlu segera menyediakan pelan pengurusan risiko nasional yang jelas dan komprehensif.

“Ia merangkumi jaminan bekalan bahan api, penyediaan stok penimbal makanan, pemantauan harga barangan import serta sokongan kepada sektor logistik dan pengangkutan,” tegasznya.

Beliau turut menekankan keperluan komunikasi krisis yang telus dan konsisten bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat tepat serta tidak panik berdepan situasi berkenaan.

Menurutnya, perkembangan di Timur Tengah ketika ini bukan lagi isu luar yang jauh, sebaliknya berpotensi memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat dalam tempoh terdekat.

“Ini bukan lagi isu geopolitik yang jauh dari kita. Apa yang berlaku di Timur Tengah hari ini boleh menentukan berapa harga minyak, beras, ayam, sayur, baja dan barang keperluan yang akan dibayar oleh rakyat Malaysia dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2026

- Advertisement -