
KUBANG KERIAN: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan kerajaan perlu bertindak segera dalam menangani isu kenaikan harga minyak di Malaysia yang dilihat lebih tinggi berbanding peningkatan sebenar di peringkat global sehingga memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, jika dilihat kepada harga minyak dunia, peningkatannya tidak begitu ketara berbanding tekanan kos yang ditanggung rakyat di negara ini.
“Namun di Malaysia, berlaku beberapa kali kenaikan dalam tempoh singkat sehingga memberi kesan besar kepada kos sara hidup,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu beliau menegaskan, kerajaan sepatutnya dapat menjangka rungutan rakyat lebih awal serta menyediakan pelan mitigasi bagi mengurus kesan kenaikan tersebut.
Katanya, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia seharusnya memanfaatkan hasil petroleum untuk membantu mengurangkan beban rakyat, bukan sebaliknya menyebabkan kos meningkat secara berantai.
“Sepatutnya ada pelan jelas bagaimana untuk mengurus kesan kenaikan harga minyak supaya rakyat tidak terbeban.
“Kenaikan harga minyak memberi kesan menyeluruh kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pelancongan dan rantaian bekalan sehingga menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat,” hujahnya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrti DUN Salor, di sini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia turut berdepan ketidaktentuan bekalan dan harga minyak, termasuk laporan kekurangan bekalan di stesen minyak.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan sektor tenaga di rantau ini,” katanya.
Tambah beliau, ekonomi global dijangka terus tidak stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, justeru rakyat disaran mengamalkan perbelanjaan berhemah.
“Rancang perbelanjaan ketika ada, jangan tunggu tiada baru hendak berjimat,” katanya.
Menurut beliau lagi, kenaikan kos turut memberi kesan kepada sektor pelancongan apabila pergerakan ke negeri-negeri lain menjadi lebih terhad.
“Kerajaan diharapkan agar dapat merangka dasar lebih adil dan menyeluruh, manakala rakyat terus bijak mengurus kewangan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, walaupun berhadapan senario ekonomi semasa yang tidak menentu pada ketika ini, beliau menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri tetap penting sebagai ruang mengeratkan hubungan silaturahim.
“Tujuan kita adalah untuk bertemu mata dan bertanya khabar, manakala soal makanan itu perkara kedua,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















