
KUALA TERENGGANU: Golongan pesawah kini berdepan tekanan berganda susulan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel, sekali gus menjejaskan pendapatan dan kelangsungan sektor pengeluaran makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kadar upah penggunaan jentera pertanian dijangka meningkat dengan ketara menjelang musim menuai April ini.
Menurutnya, ketika ini upah membajak sawah adalah sekitar RM170 seekar bagi jentera berantai dan RM160 bagi jentera tayar, manakala upah menuai pula mencecah RM13 bagi setiap guni, iaitu sebelum berlakunya kenaikan mendadak harga diesel.
“Dengan harga diesel sekarang memang tak dapat dielakkan lagi, upah jentuai pada musim menuai bulan April nanti akan naik dengan mendadak. Upah membajak sawah bagi musim baru akan datang juga akan turut naik. Ada lagi, lori untuk angkut padi ke kilang juga guna diesel.
“Dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung petani sekarang, harga padi pula tak naik dan ditambah dengan kadar potongan yang tinggi di kilang padi, maka yang tinggal untuk petani hanyalah air mata,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Tambah beliau, keadaan itu boleh membawa kepada implikasi lebih besar sekiranya tidak ditangani segera.
“Saya bimbang jika tekanan ini berterusan, petani akan berputus asa untuk mengerjakan sawah. Natijahnya, negara berisiko berdepan krisis makanan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan jentera pembajak dan penuai tidak termasuk dalam skop bantuan di bawah program BUDI-Agri MADANI, sekali gus menambah beban yang perlu ditanggung petani.
“Amat perit untuk petani berhadapan kos pengeluaran dengan harga diesel pada paras ini. Saya meneliti perkembangan harga minyak mentah dunia yang telah menurun ke paras di bawah USD100. Tapi di negara kita harga terus menaik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang membawa kepada pengetatan bekalan global terus melonjakkan harga minyak mentah dunia.
Harga minyak dengan penanda aras antarabangsa Brent naik 4.2 peratus kepada USD112.57 setong. Sementara kontrak penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), melonjak 5.5 peratus kepada USD99.64 setong.
Penganalisis antarabangsa berkata, trend berkenaan dikaitkan dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melanjutkan tarikh akhir kepada Iran untuk membuka Selat Hormuz hingga 6 April. Namun, ketegangan berterusan menyebabkan sentimen pasaran kekal lemah. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















