
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem amaran awal di sekolah dikemukakan bagi sebagai antara cadangan utama memperkukuh langkah keselamatan murid susulan fenomena cuaca panas yang semakin membimbangkan ketika ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, langkah itu penting bagi memastikan pihak sekolah dapat bertindak segera tanpa perlu menunggu arahan panjang apabila suhu mencecah paras berbahaya.
Menurutnya, cadangan tersebut susulan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan 206 sekolah di daerah Pendang dan Kota Setar bermula hari ini hingga 31 Mac, berikutan amaran cuaca panas Tahap 2 (gelombang panas).
“Pendedahan berpanjangan kepada suhu melebihi 37 darjah Celsius bukan sahaja mengganggu tumpuan pembelajaran, malah mendedahkan anak-anak kita kepada risiko kesihatan yang kritikal seperti kelesuan haba (heat exhaustion) dan strok haba (heat stroke) yang boleh membawa maut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga pengamal perubatan menjelaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mewujudkan Sistem Amaran Awal Sekolah yang dihubungkan secara langsung dengan data masa nyata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, melalui sistem itu, pihak sekolah boleh membuat keputusan autonomi untuk menangguhkan aktiviti luar bilik darjah secara pantas apabila suhu meningkat ke tahap kritikal.
“Apabila suhu mencecah paras tertentu, sekolah dibenarkan membuat keputusan penangguhan aktiviti luar bilik darjah secara autonomi tanpa menunggu arahan birokrasi yang panjang, demi tindakan pantas,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif Sekolah Hijau dan Teduh sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kesan haba di kawasan sekolah.
“Saya mencadangkan peruntukan khas diberikan untuk penanaman pokok teduhan secara intensif dan pemasangan sistem pengudaraan pasif di sekolah-sekolah yang berada dalam ‘hotspot’ cuaca panas. Kita perlu mengubah landskap sekolah daripada ‘hutan konkrit’ kepada persekitaran yang lebih mampan dan sejuk secara semula jadi,” hujahnya.
Selain itu, ujar beliau, garis panduan nutrisi dan hidrasi mandatori juga perlu diperkenalkan di sekolah bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas.
Pihak kantin sekolah perlu diwajibkan menyediakan bekalan air minuman percuma yang mencukupi dan mengurangkan jualan makanan berminyak atau pedas sewaktu musim gelombang panas.
“Modul pendidikan ringkas mengenai cara mengenali simptom awal strok haba juga perlu diajar kepada semua murid agar mereka boleh memantau keadaan rakan sebaya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyeru ibu bapa di seluruh negara supaya lebih peka terhadap keadaan anak-anak sepanjang tempoh PdPR, termasuk memastikan mereka kekal berada di dalam rumah dan mengambil air secukupnya.
“Keselamatan anak-anak kita adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Kita harus beralih daripada tindakan bersifat reaktif kepada strategi yang lebih proaktif dan berdaya tahan iklim,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di daerah Pendang dah Kota Setar akan dilanjutkan sekiranya suhu harian di kedua-dua daerah berkenaan kekal pada Tahap 2 bermula hari ini sehingga Selasa.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat, berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa bacaan suhu harian yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum sebarang keputusan dibuat.
Tambah beliau, seramai 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR yang bermula hari ini, merangkumi 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemungkinan PdPR akan dilaksanakan di daerah Baling bermula esok sekiranya bacaan suhu yang dicatatkan hari ini berada pada Tahap 2. – HARAKAHDAILY 30/3/2026




















