
JERAI: Para pengamal media dinasihatkan agar menjadi agen penyampai maklumat yang benar serta tepat kepada masyarakat, demikian kata Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, di sini.
Terutama katanya laporan berkenaan kejayaan, kecemerlangan, program mahupun aktiviti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.
“Setiap pekerjaan baik yang dilakukan merupakan satu ibadat kepada Allah SWT, maka jalankanlah tugas dengan jujur serta ikhlas,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Komunikasi dan Penerangan itu lagi.
Beliau berkata demikian pada majlis moreh meraikan para pengamal media, di Guar Chempedak, di sini kelmarin.
Majlis yang diadakan saban tahun setiap kali di bulan Ramadan itu, dihadiri lebih daripada 50 pengamal media dari pelbagai agensi, seluruh Kedah.
Selain beramah mesra merapatkan hubungan siratulrahim, para pengamal media juga diraikan dengan sumbangan kuih dan duit raya.
Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya; Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim dan kakitangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat( PKWR) DUN Sungai Limau. – HARAKAHDAILY 15/3/2026




















