
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan supaya segera mengumumkan pelan mitigasi menyeluruh bagi menangani kesan rantaian susulan ketidaktentuan harga minyak yang kini menghimpit rakyat.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, meskipun kenaikan harga minyak merupakan fenomena global, keupayaan kerajaan mengurus dan mengawal kesan kenaikan tersebut tetap menjadi ukuran utama dalam menilai kestabilan ekonomi negara.
Menurut beliau, kebimbangan rakyat kini bukan sekadar tertumpu pada harga bahan api semata-mata, malah kesan rantaian terhadap harga barangan keperluan, kos pengangkutan serta perbelanjaan isi rumah yang kian tertekan.
“Reaksi gusar rakyat terhadap pengumuman terbaru kerajaan menunjukkan bahawa sekadar mengumumkan dasar adalah tidak mencukupi tanpa pelan mitigasi yang jelas dan terperinci.
“Rakyat mahu melihat langkah konkrit yang mampu menghalang kenaikan harga minyak daripada mencetuskan kenaikan harga barang secara berantai di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan melaksanakan langkah segera bagi melindungi kesejahteraan rakyat melibatkan penguatkuasaan tegas menerusi tindakan agresif terhadap aktiviti pencatutan oleh pihak yang mengambil kesempatan.
Nadzir juga menggesa pemantauan harga diperkasa melibatkan harga barang keperluan asas secara berkala di pasaran, selain mekanisme perlindungan lebih efektif khusus untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Beliau juga mengingatkan kerajaan perlu menjamin kestabilan harga dalam pasaran bagi mengelakkan tekanan ekonomi yang lebih parah.
Nadzir turut menarik perhatian mengenai penularan semula klip kenyataan lama Perdana Menteri berkaitan isu minyak yang menggambarkan harapan tinggi rakyat terhadap janji-janji kestabilan ekonomi.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, keutamaan kerajaan mestilah tertumpu kepada perlindungan rakyat.
“Rakyat bukan hanya mahu penjelasan, tetapi mereka memerlukan jaminan bahawa kelangsungan hidup mereka tidak terus dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup yang melampau,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2026











