
KOTA BHARU: Medan peperangan dalam dunia moden bukan lagi secara fizikal semata-mata, sebaliknya telah beralih ke medan maklumat dan digital yang menuntut strategi serta kepantasan bertindak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, strategi, kepantasan dan ketepatan maklumat kini menjadi senjata utama dalam menghadapi cabaran semasa termasuk suasana politik dan pilihan raya.
“Dalam dunia moden, peperangan bukan hanya di medan fizikal, sebaliknya ia turut berlaku di medan maklumat dan digital.
“Strategi, kepantasan dan ketepatan maklumat menjadi senjata utama termasuk pendokong politik,” kata pada majlis Iftar Perdana Pasukan IT Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini.
Beliau menegaskan teknologi digital hari ini amat canggih dengan maklumat berada di hujung jari serta data boleh dikumpul dan dianalisis dalam pelbagai bentuk.
Katanya, pertahanan maklumat amat penting kerana serangan siber boleh berlaku pada bila-bila masa dan fitnah mampu tersebar hanya dalam beberapa minit.
“Jika kita lambat, kita kalah dalam persepsi, jika kita tidak cekap, kita kalah dalam strategi. Justeru, jentera IT mesti cepat, cekap dan mahir,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam suasana menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa, medan utama kini adalah medan digital dan jentera tidak boleh bergantung kepada maklumat lama atau data yang kabur, sebaliknya segala maklumat mesti tepat serta terkini.
“Kerja ini mungkin tidak kelihatan di hadapan, namun ia sangat penting kerana ia adalah benteng pertahanan dan juga senjata dakwah kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepentingan penghayatan al-Quran yang bukan sekadar dibaca, tetapi difahami, ditadabbur dan diamalkan.
Menurutnya, dalam era ini terdapat fenomena membaca terlalu cepat tanpa penghayatan sehingga menjadikan bacaan sebagai pertandingan kepantasan.
“Sedangkan matlamat sebenar ialah kefahaman dan tadabbur. Al-Quran yang diturunkan itu datang bersama tanggungjawab,” jelasnya.
Beliau berkata, penghayatan al-Quran mesti bermula dalam keluarga melibatkan suami, isteri dan anak-anak sebelum mendidik diri sendiri, manakala puasa pula mendidik jiwa serta melatih ketenangan dan kekuatan dalaman.
Beliau turut mengimbau penubuhan Maahad Tahfiz di Nilam Puri suatu ketika dahulu bagi memastikan rakyat dapat memperbetulkan bacaan serta memahami isi kandungan al-Quran dengan baik.
“Kerajaan negeri bukan sahaja menjaga ekonomi, tetapi juga menjaga ilmu. Kekuatan negeri bukan hanya pada pembangunan fizikal, tetapi pada pembangunan rohani,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Lajnah IT dan Data Raya PAS Negeri Kelantan, Roslan Mohd Zain mengingatkan pendokong serta petugas parti supaya bersedia dari sekarang untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, biarpun tarikh belum dapat dipastikan, setiap petugas khususnya petugas IT perlu bersedia menghadapi kemungkinan itu.
“Sama ada PRU atau PRN akhir tahun ini atau pertengahan tahun hadapan sekalipun, tugas kita perlu bersedia dari sekarang,” ujarnya.
Hampir 60 jemputan hadir mewakili Lajnah IT dan Data Raya PAS Negeri Kelantan merangkumi wakil kawasan dan dewan, Jabatan IT dan Data Raya PAS Negeri Kelantan serta Penyelaras ICT DUN Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/3/2026




















