
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan berkompromi terhadap individu yang didapati membuang sampah atau membuat kekotoran di tempat awam dengan mengenakan denda maksimum RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas itu akan dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran 2020 susulan kes pembuangan sisa makanan dan plastik bungkusan secara tidak terkawal di beberapa lokasi tumpuan berbuka puasa.
“Kita telah beri peringatan berulang kali, namun masih terdapat segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah merata-rata sehingga mencemarkan kawasan awam.
“Jika keadaan ini berterusan, tindakan tegas akan diambil. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 kerana membuat kekotoran di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, antara lokasi yang dikenal pasti termasuk kawasan tepi sungai Lembah Sireh yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan.
Beliau berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut mempertimbangkan langkah lebih drastik termasuk menutup kawasan terbabit kepada orang awam sekiranya tahap kebersihan terus diabaikan.
Katanya, antara kesalahan yang kerap dikesan ialah membuang sisa makanan, plastik pembungkus dan bekas minuman di atas rumput, laluan pejalan kaki serta tebing sungai selepas waktu berbuka.
“Ramadan sepatutnya mendidik kita menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab, bukan sebaliknya.
“Sekiranya tong sampah penuh, orang ramai disaran meletakkan sampah secara tersusun di tepi tong bagi memudahkan kutipan atau membawa pulang sendiri sisa masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, penguatkuasaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara dan imej negeri tidak tercemar. –HARAKAHDAILY 3/3/2026











