Fiqh Puasa: Uzur mengharuskan berbuka?

- Advertisement -

Kewajipan mengerjakan puasa gugur apabila ada pada seseorang itu salah satu dari uzur yang berikut:

- Advertisement -

Bermusafir

Firman Allah Taala:

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Ertinya: “Atau kamu sekelian sedang bermusafir maka harus berbuka dan ganti akan bilangannya pada hari yang lain.” (Al-Baqarah: 185)

Berkata Imam Nawawi:

مَعْنَاهُ وَأَرَادَ الْفِطْرَ فَلَهُ الْفِطْرُ وَعَلَيْهِ عِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Ertinya: “Makna ayat ini apabila seorang musafir hendak berbuka maka harus baginya berbuka dan wajib atasnya berpuasa pada hari-hari yang lain yakni qada.” (Kitab Al-Majmu’)

Bermula jarak perjalanan musafir yang membolehkan berbuka ialah musafir panjang iaitu yang jarak destinasinya sama dalam bab sembahyang qasar iaitu dua marhalah atau lebih kurang antara 85km hingga 90km.

Maka tidak harus berbuka bagi mereka yang melakukan perjalanan yang pendek yakni yang tiada sampai jaraknya dua marhalah.

Dan demikian lagi disyaratkan perjalanannya itu ialah perjalanan yang diharuskan syarak maka tidak dibolehkan berbuka bagi orang yang perjalanannya bertujuan berbuat dosa dan derhaka kepada Allah.

Berkata Imam Taqiyudin Ad-Dimasyqi:

وَأما الْمُسَافِر فَشرط الْإِبَاحَة لَهُ أَن يكون سَفَره طَويلا مُبَاحا فَلَا يترخص فِي الْقصير لعدم الْمُبِيح وَلَا فِي السّفر بالمعصية لِأَن الرُّخص لَا تناط بِالْمَعَاصِي

Ertinya: “Dan adapun musafir itu maka disyaratkan bagi boleh berbuka itu hendaklah musafir yang panjang lagi harus. Maka tidak diberi keringanan berbuka bagi musafir yang pendek kerana ketiadaan yang mengharuskan dan tidak juga diberi keringanan berbuka pada musafir bertujuan maksiat kerana sungguhnya keringanan syarak itu tidak diberikan kepada segala maksiat.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan disyaratkan lagi hendaklah musafirnya itu sepanjang hari dia berjalan tiada boleh awal harinya dia belum memulakan musafir dan selepas itu baru dia mula bermusafir.

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha:

وبشرط أن يستغرق السفر سائر اليوم أما إن أصبح صائماً وهو مقيم، ثم أحدث سفراً أثناء النهار لم يجز الإفطار

Ertinya: “Dan disyaratkan hendaklah menghabisi perjalanannya sekalian hari. Adapun jika pada paginya dia berpuasa dalam keadaan mukim kemudian baru dia berjalan di pertengahan siang nescaya tidak harus dia berbuka.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Maka siapa yang bermusafir dia boleh memilih antara berbuka atau meneruskan berpuasa dan adalah sebahagian ulamak berkata berpuasa lebih afdal bagi mereka yang bermusafir daripada berbuka manakala sebahagian ulamak berkata berbuka lebih afdal baginya.

Menyebut oleh Syeikh Ali As-Sobuni:

قَالَت طَّآئِفَةٌ، مِّنْهُمْ الشَّافِعِيُّ: الصِّيَامُ فِي السَّفَرِ أَفْضَلُ مِنَ الْإِفْطَارِ لفعل الني صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا تَقَدَّمَ، وَقَالَتْ طائفة بل الإفطار أفضل أخذاً بالرخصة

Ertinya: “Telah berkata satu kumpulan ulamak yang setengahnya ialah Imam Syafie r.a. bermula puasa ketika musafir itu lebih afdal daripada berbuka kerana mengikut perbuatan Nabi sollallahu alaihi wasallam sebagaimana telah lalu sebutnya dan berkata satu kumpulan bahkan berbuka lebih afdal kerana mengambil keringanan syarak.” (Kitab Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir)

Dan menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وأكثر الأئمة (مالك وأبي حنيفة والشافعي) على أن الصوم للمسافر أفضل إن لم يشق عليه. ويرى أحمد والأوزاعي أن الفطر أفضل عملا بالرخصة

Ertinya: “Dan bermula kebanyakkan ulamak iaitu mazhab Maliki dan Hanafi dan Syafie berpendapat atas bahawa berpuasa bagi musafir itu afdal jika dia tidak ada kesukaran atasnya. Dan berpendapat oleh Imam Ahmad dan Al-Auza’ie bahawa berbuka lebih afdal kerana mengamalkan keringanan syarak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Oleh kerana itu jika perjalanannya tidak memayahkan dirinya seperti menaiki kenderaan yang selesa maka yang afdal ialah dia meneruskan puasa.

Firman Allah Taala:

وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya: “Dan bahawa kamu sekalian berpuasa itu adalah lebih baik bagi kamu jika ada kamu sekelian mengetahui.” (Al-Baqarah: 184)

Dan jika perjalanannya itu menjadikan dirinya lemah atau memayahkan urusannya maka berbuka itu adalah afdal baginya. Dan inilah juga pendapat jumhur ulamak.

Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi:

ومحله إن لم يخش ضررا في الحال أو الاستقبال من الصوم، وإلا فالفطر أفضل، لما في الصحيحين أنه صلى الله عليه وسلم رأى رجلا صائما في السفر قد ظلل عليه فقال: ليس من البر أن تصوموا في السفر

Ertinya: “Dan berpuasa lebih afdal bagi orang yang musafir itu ialah selama tidak takutkan mudarat berlaku ketika itu atau berlaku di masa akan datang daripada berpuasa. Jika ditakuti berlaku mudarat maka berbuka lebih afdal kerana hadis yang diriwayatkan dalam Bukhari dan Muslim bahawasanya Rasulullah solallahu alaihi wasallam melihat akan seorang lelaki berpuasa ketika musafir sungguh telah bersangatan atasnya lalu baginda bersabda: Tidak ada kebaikkan bahawa kamu berpuasa di dalam musafir.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Dan pada satu riwayat dari Hamzah bin ‘Amr r.a. Nabi saollallahu alaihi wasallam bersabda:

هِيَ رُخْصَةٌ مِنْ اللَّهِ، فَمَنْ أَخَذَ بِهَا فَحَسَنٌ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ

Ertinya: “Berbuka itu satu rukhsah (keringanan) kurnia daripada Allah. Maka siapa yang mengambil keringanan tersebut maka ia adalah elok. Dan siapa yang lebih suka berpuasa maka tidak menjadi kesalahan atasnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Dan demikian juga afdal atas orang yang musafir berbuka dari meneruskan berpuasa jika bimbang jadi lemah badannya dari menyempurnakan tugasnya seperti orang yang bermusafir kerana menunaikan haji atau pergi berperang.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

وَقَالَ فِي التَّتِمَّة وَلَو لم يتَضَرَّر فِي الْحَال لكنه يخَاف الضعْف لَو صَامَ وَكَانَ فِي سفر حج أَو غَزْو فالفطر أولى

Ertinya: “Berkata pengarang Kitab At-Tatimmah: Dan jikalau tidak memudaratkan ketika itu akan tetapi takut ia jadi lemah jika berpuasa dan adalah dia dalam musafir haji atau berperang maka berbuka lebih afdal.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Dan apabila orang yang musafir itu berpuasa kemudian datang kesukaran atasnya lalu dia berbuka maka wajib atasnya qada.

Dan disyaratkan bagi yang bermusafir itu hendaklah dia memulakan perjalanannya sebelum terbit fajar dan dalam keadaan berpuasa dan tidak harus dia berbuka sebelum dia keluar dari mukimnya.

Maksudnya tempat yang dibolehkan berbuka bagi musafir itu ialah sama keadaannya seperti solat jamak iaitu apabila telah keluar dari mukim tempat tinggalnya dan disyaratkan bagi berbuka itu ialah dia mula musafir pada waktu malam dan ketika melepasi mukim tempat tinggalnya hari masih malam yakni belum masuk waktu subuh.

Berkata Imam Nawawi:

(أَنْ) يَبْدَأَ السَّفَرَ بِاللَّيْلِ وَيُفَارِقُ عُمْرَانَ الْبَلَدِ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَهُ الْفِطْرُ بِلَا خِلَافٍ

Ertinya: “(Bahawa) dia memulakan perjalanan pada waktu malam dan dia melepasi segala rumah kediaman di tempat tinggalnya itu sebelum waktu subuh maka harus baginya berbuka dengan ketiadaan khilaf.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Dr Wahbah Zuhaili:

وبشرط عند الجمهور: أن ينشئ السفر قبل طلوع الفجر ويصل إلى مكان يبدأ فيه جواز القصر وهو بحيث يترك البيوت وراء ظهره

Ertinya: “Dan disyaratkan di sisi jumhur ulamak bahawa terjadi perjalanan itu sebelum terbit fajar dan sampai ia ke tempat yang sudah harus qasar solat iaitu sekira-kira sudah meninggalkan kediaman orang-orang di belakangnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Orang yang berbuka kerana musafir wajib qada hari-hari yang dia tinggalkan itu dan tiada fidyah atasnya.

Berkata Imam Nawawi:

إذَا أَفْطَرَ الْمُسَافِرُ لَزِمَهُ الْقَضَاءُ وَلَا فِدْيَةَ

Ertinya: “Apabila musafir berbuka maka wajib atasnya qada dan tiada atasnya fidyah.” (Kitab Al-Majmu’)

Sakit berat

Firman Allah Taala :

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيْضًا اَوْ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ اَيَّامٍ اُخَرَ

Ertinya: “Maka barangsiapa di kalangan kamu sedang sakit atau bermusafir maka harus dia berbuka dan ganti pada hari yang lain.” (Al-Baqarah: 184)

Berkata Imam Ibnu Quddamah:

أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى إبَاحَةِ الْفِطْرِ لِلْمَرِيضِ فِي الْجُمْلَةِ

Ertinya: “Telah ijmak para ulamak atas harus berbuka bagi orang yang sakit secara jumlah.” (Kitab Al-Mughni)

Dan adalah berbuka bagi orang yang sakit berat ini harus hukumnya di sisi jumhur ulamak yaitu mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie manakala ulamak mazhab Hanbali berkata dengan sunat baginya berbuka.

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:

فإذا مرض الصائم، وخاف زيادة المرض بالصوم، أو خاف تأخر البرء من المرض، أو حصلت له مشقة شديدة بالصوم، فإنه يجوز له الفطر، باتفاق ثلاثة، وقال الحنابلة” بل يسن له الفطر، ويكره له الصوم في هذه الأحوال

Ertinya: “Maka apabila sakit orang yang puasa dan bimbang ia akan bertambah sakit sebab berpuasa atau takut lambat sembuhnya dari sakit atau jadi padanya kepayahan yang sangat sebab berpuasa maka bahawasanya haruslah baginya berbuka dengan sepakat ulamak mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie. Dan berkata ulamak mazhab Hanbali bahkan disunatkan baginya berbuka dan dimakruhkan baginya berpuasa dalam semua keadaan ini.” (Kitab Al-Fiqh ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah)

Maksud sakit yang membolehkan tidak berpuasa ini ialah sakit yang berat yang jika dia berpuasa maka bolih terjadi hal-hal berikut:

1. Sakitnya bertambah

2. Penyakit jadi lambat sembuh.

3. Jatuh pengsan.

4. Dapat penyakit yang lain.

5. Bimbang berlaku mudarat atas dirinya.

Dan yang afdal bagi orang sakit itu berpuasa jika dia mampu atau tiada bimbang penyakitnya semakin parah dan jika tidak mampu atau bimbang penyakitnya semakin parah maka afdal dia berbuka tetapi jika sampai mengancam nyawanya kalau berpuasa maka hukumnya adalah haram.

Berkata Syeikh Nawawi Al-Bantani:

فَإِن شقّ عَلَيْهِ الصَّوْم فالفطر أفضل وَإِلَّا فالصوم أفضل لما فِيهِ من تَعْجِيل بَرَاءَة الذِّمَّة وَالْفطر لَهُ جَائِز إِن خَافَ مشقة شَدِيدَة تبيح التَّيَمُّم كَأَن خشِي من الصَّوْم بطء برْء فَإِن تحققها أَو غلبت على ظَنّه حرم الصَّوْم

Ertinya: “Maka jika kesukaran atasnya berpuasa maka berbuka itu afdal dan jika tidak begitu maka berpuasa itu afdal kerana lebih segera kepada menunaikan kewajipan dan berbuka harus baginya jika dia bimbangkan kesukaran yang bersangatan yang mengharuskan tayammum seperti dia takut sebab berpuasa akan jadi lambat sembuhnya. Maka jika dia yakin akan bertambah sakitnya atau berat sangkaan atasnya maka haram dia berpuasa.” (Kitab Nihayah Zain)

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وضابط المرض المبيح الفطر: هوالذي يشق معه الصوم مشقة شديدة أو يخاف الهلاك منه إن صام، أو يخاف بالصوم زيادة المرض أو بطء البرء أي تأخره

Ertinya: “Dan tanda sakit yang mengharuskan berbuka itu ialah sakit yang jadi tersangat susahlah berpuasa dengannya atau takut binasa daripadanya jika dia berpuasa atau takut dengan sebab puasa akan bertambah penyakit atau lambat sembuhnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Bermula sakit yang sedikit yang boleh ditanggung oleh orang yang puasa atau tidak memudaratkan jika berpuasa atau seumpamanya maka ia tidak mengharuskan berbuka.

Tersebut pada Kitab I’anah At-Talibin:

خرج ما لا يبيحه كالمرض اليسير، كصداع، ووجع الأذن، والسن إلا أن يخاف الزيادة بالصوم فيباح له الفطر كما في النهاية

Ertinya: “Keluar oleh sakit yang tidak mengharuskan berbuka puasa seperti sakit yang sedikit seperti sakit kepala dan telinga berdengung dan sakit gigi melainkan jika ditakuti akan bertambah sakit dengan sebab berpuasa maka diharuskan baginya berbuka sebagaimana tersebut pada Kitab An-Nihayah.”

Dan adalah harus bagi orang yang berkekalan sakitnya tidak berniat puasa pada malamnya manakala yang sakitnya berselang-selang wajib atasnya berniat puasa pada malamnya dan jika datang sakitnya pada waktu siang harus ia berbuka ketika itu.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

يشْتَرط فِي الْمَرِيض أَن يجب ألماً شَدِيدا ثمَّ إِن كَانَ الْمَرَض مطبقاً فَلهُ ترك النِّيَّة من اللَّيْل

Ertinya: “Disyaratkan pada yang sakit itu sakit yang tersangat kemudian apabila berkekalan rasa kesakitannya maka harus baginya meninggalkan berniat puasa dari malamnya.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

يجوز للمريض والمسافر الإفطار في رمضان، ويجب عليهما القضاء في وقت آخر. والمرض المبيح للفطر في رأي أكثر الفقهاء: هو الذي يؤدي إلى ضرر في النفس، أو زيادة في العلة

Ertinya: “Harus bagi orang yang sakit dan yang sedang musafir berbuka pada Ramadan dan wajib atas keduanya qada pada waktu yang lain. Dan sakit yang mengharuskan berbuka itu pada pandangan kebanyakan fuqahak ialah sakit yang membawa kepada mudarat pada nyawa atau bertambah pada penyakit.” (Kitab Tafsir Al-Munir)

Orang yang berbuka kerana sakit wajib qada hari-hari puasa yang dia tinggalkan selepas dia sihat dan tiada fidyah atasnya.

Hamil dan menyusukan anak

Diharuskan ke atas perempuan yang hamil dan yang menyusukan berbuka puasa apabila takut berlaku mudarat ke atas dirinya atau ke atas bayi dalam kandungannya atau bayi yang disusuinya.

Dan tidak disyaratkan menyusukan anak sendiri sahaja bahkan termasuk juga menyusukan anak susuan.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

سواء أكان الولد ولد المرضعة أم لا، أي نسباً أو رضاعاً، وسواء أكانت أماً أم مستأجرة

Ertinya: “Sama ada anak yang disusukannya itu anak dari nasabnya atau anak susuan dan sama ada adalah yang menyusukan itu ibu bagi kanak-kanak atau yang diupah menyusu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan dalil harus ke atas keduanya berbuka ialah kerana qiaskan atas orang yang sakit dan musafir kerana kesukaran yang dihadapi.

Berkata Imam As-Syaukani:

وَأَنَّهُ يَجُوزُ لِلْحُبْلَى وَالْمُرْضِعِ الْإِفْطَارُ

Ertinya: “Dan bahawasanya harus bagi perempuan yang hamil dan yang menyusukan itu berbuka puasa.” (Kitab Nail Al-Authar)

Maksudnya diharuskan perempuan yang hamil dan yang menyusukan itu berbuka apabila menghadapi kesukaran yakni dengan ketiadan khilaf.

Menyebut oleh Syeikh Ar-Rahmani Al-Mubarakfuri:

قَالَ التِّرْمِذِيُّ وَلَا خِلَافَ فِي جَوَازِ الْإِفْطَارِ لِلْحَامِلِ وَالْمُرْضِعَةِ إِذَا خَافَتِ الْمُرْضِعَةُ عَلَى الرَّضِيعِ وَالْحَامِلُ عَلَى الْجَنِينِ

Ertinya: “Dan seperti demikian telah berkata Imam At-Tirmizi tiada perselisihan pada harusnya berbuka bagi perempuan hamil dan perempuan menyusu apabila perempuan yang menyusukan bimbang atas anak yang menyusu dan perempuan yang hamil bimbang atas kandungannya.” (Kitab Tauhfatul Ahwazi)

Oleh kerana itu jika perempuan yang hamil dan yang menyusukan tidak mengalami kesukaran berpuasa maka tiada harus atas keduanya berbuka.

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan sebuah hadis bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ لِلْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْحُبْلَى وَالْمُرْضِعِ

Ertinya: “Sungguhnya Allah Taala meringankan bagi musafir akan puasa dan separuh dari sembahyang dan diringankan bagi ibu yang hamil dan yang sedang menyusukan.” (Hadis riwayat An-Nasai dan Ibnu Majah)

Wajib qada sahaja tanpa fidyah

Perempuan hamil atau yang menyusu yang berbuka kerana tidak larat berpuasa wajib qadha hari-hari puasa yang dia tinggal dan tiada fidyah dikenakan ke atasnya dan jika dia berbuka kerana khuatirkan anak dalam kandungan atau anak yang sedang menyusu wajib qada dan wajib pula bayar fidhyah.

Berkata Imam Nawawi:

وأما الحامل والمرضع فإن أفطرتا خوفا على نفسهما وجب القضاء بلا فدية

Ertinya: “Dan adapun perempuan yang hamil dan yang menyusukan itu jika keduanya berbuka kerana takutkan atas kesihatan diri keduanya maka wajib qada sahaja tidak wajib fidyah.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Wajib qada dan wajib fidyah

Jika perempuan hamil dan yang menyusukan itu tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya dan kesihatan anaknya maka wajib atas keduanya qada dan membayar fidyah.

Berkata Imam Ibnu An-Naqib As-Syafie:

[المرضعُ والحاملُ]: ولوْ خافتْ مرضعٌ أوْ حاملٌ على أنفسهما أوْ ولديهما أفطرتا وقضتا، لكن تفديانِ عندَ الخوفِ على الولدِ لكلِّ يومٍ مداً

Ertinya: “Perempuan yang menyusukan dan yang hamil kalau takut oleh perempuan yang menyusukan dan yang hamil itu atas kesihatan diri keduanya atau anak keduanya dan berbuka oleh keduanya dan qada atas keduanya akan tetapi keduanya hendaklah membayar fidyah pada masalah takutkan atas anak tersebut bagi setiap hari berbuka fidyah secupak.” (Kitab ‘Umdah As-Salik)

Dan berkata Imam Ibnu Al-Mulaqqin:

إن أفطرتا خوفًا على أنفسهما وجب القضاء بلا فدية أو على الولد فالقضاء والفدية

Ertinya: “Jika perempuan hamil dan yang menyusukan itu berbuka kerana bimbangkan atas diri keduanya sahaja maka wajib atas keduanya qada dengan tiada fidyah. Atau keduanya berbuka kerana bimbang atas anak maka wajib qada dan fidyah.” (Kitab At-Taudhih Syarah Al-Jami’ As-Sahih)

Dan telah berkata Syeikh Al-Mubarakfuri:

أَمَّا أَنَّهُمَا يَقْضِيَانِ فَلِأَنَّهُمَا فِي حُكْمِ الْمَرِيضِ وَالْمَرِيضُ يُفْطِرُ وَيَقْضِي وَأَمَّا أَنَّهُمَا يُطْعِمَانِ فَلِآثَارِ بَعْضِ الصَّحَابَةِ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ رَوَى أَبُو دَاوُدَ فِي سُنَنِهِ عن بن عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فِي قَوْلُهُ (وعلى الذين يطيقونه) قَالَ كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ وهما يطيقان الطعام أَنْ يُفْطِرَا أَوْ يُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكَيْنَا وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا

Ertinya: “Adapun perempuan hamil dan yang menyusukan itu wajib qada kerana sungguhnya kedua perempuan itu seperti hukum orang sakit. Dan orang sakit itu berbuka dan wajib qada. Dan adapun kedua perempuan itu wajib bayar fidyah kerana berdalilkan perkataan sebahagian sahabat r.a. yang telah meriwayatkannya oleh Abu Daud pada Sunannya daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata pada firman Allah: Dan atas orang-orang yang tidak larat berpuasa. Kata beliau adalah ayat ini keringanan bagi lelaki yang sangat tua dan perempuan yang sangat tua dan keduanya mampu memberi akan makan bahawa berpuasa atau beri makan sebagai menempati setiap hari berbuka akan seorang miskin. Dan perempuan hamil dan yang menyusukan apabila keduanya bimbang atas kedua anaknya maka keduanya boleh berbuka dan memberi makan.” (Kitab Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami’ At-Tirmizi)

Sangat lemah kerana tua atau sakit yang tidak sembuh

Harus dengan ijmak ulamak berbuka bagi orang yang telah tua yang sangat lemah dari berpuasa pada sekelian tahun dan begitu juga orang sakit yang sakitnya pada adat tidak diharap akan sembuh.

Firman Allah Taala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Ertinya: “Dan atas orang yang sudah tidak ada kemampuan berpuasa hendaklah bayar fidyah kepada orang miskin.” (Al-Baqarah: 184)

Berkata Ibnu Abbas r.a.:

هو الشيخ الكبير والمرأة الكبيرة، لا يستطيعان أن يصوما، فيطعمان مكان كل يوم مسكيناً

Ertinya: “Iaitu lelaki yang sangat tua dan perempuan yang sangat tua tiada mampu oleh keduanya mengerjakan puasa maka memberi makan oleh keduanya ganti setiap hari kepada orang msikin.” (Riwayat Imam Bukhari)

Maka berpuasa itu tidak wajib atas kedua golongan ini kerana puasa Ramadan hanya diwajibkan ke atas orang yang mampu melakukannya sahaja.

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha:

فلا يجب الصوم على من لا يطيقه لكبر، أو مرض لا يرجى برؤه، لأن الصوم إنما يجب على من يقدر عليه

Ertinya: “Maka tidak wajib berpuasa atas orang yang tidak mampu berpuasa kerana sangat tuanya atau sakit yang tidak diharapkan akan sembuhnya kerana sungguhnya puasa itu hanyalah wajib ia atas orang yang kuasa atas mengerjakannya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Wajib atas keduanya yakni yang sangat tua dan yang sakit yang tiada sembuh membayar fidyah mengikut bilangan hari yang keduanya tidak berpuasa dan tidak ada qada atasnya kerana keduanya memang sudah tidak mampu berpuasa.

Berkata Imam Nawawi:

الشَّيْخُ الْهَرِمُ الَّذِي لَا يُطِيقُ الصَّوْمَ، أَوْ تَلْحَقُهُ بِهِ مَشَقَّةٌ شَدِيدَةٌ، لَا صَوْمَ عَلَيْهِ. وَفِي وُجُوبِ الْفِدْيَةِ عَلَيْهِ، قَوْلَانِ. أَظْهَرُهُمَا : الْوُجُوبُ. وَيَجْرِي الْقَوْلَانِ فِي الْمَرِيضِ الَّذِي لَا يُرْجَى بُرْؤُهُ

Ertinya: “Bermula orang yang tua bangka yang tidak larat berpuasa atau menimpanya oleh suatu kesukaran yang bersangatan maka tidak wajib atasnya berpuasa dan pada wajibnya bayar fidyah atasnya ada dua pendapat dan pendapat yang azhar ialah wajib. Dan berlaku dua pendapat ini juga pada orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Dan jika selain orang tua seperti orang yang masih muda yang tidak mampu menunaikan ibadah puasa kerana lemah badannya seperti menderita penyakit kurang upaya atau penyakit saraf atau sebab lainnya maka harus juga atasnya tidak berpuasa dan bayar fidyah jika kelemahannya itu berkekalan.

Bermula hukum harus berbuka bagi orang sakit itu ialah jika dia tidak yakin sebab berpuasanya itu akan membinasakan dirinya maka jika dia yakin dengan meneruskan berpuasa boleh menyebabkan kebinasaan pada dirinya maka wajib atasnya berbuka bukan lagi harus.

Menyebut oleh Dr Mustafa Al-Khin:

أما إن اشتد المرض أو الألم بحيث خشي معه على نفسه الهلاك وجب الفطر عندئذ

Ertinya: “Adapun jika bersangatan sakit atau pedih sekira-kira ditakuti sertanya kebinasaan atas dirinya maka wajib berbuka ketika itu.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Orang yang sangat lapar dan sangat dahaga

Orang yang sedang berpuasa kemudian datang rasa sangat lapar atau sangat dahaga yang boleh memudaratkan kesihatannya jika dia tidak makan dan tidak minum nescaya harus atasnya berbuka dan wajib atasnya qada akan hari yang dia tidak berpuasa itu.

Berkata Syeikh Nawawi:

والعطشان أي حيث لحقه مشقة شديدة لا تحتمل عادة

Ertinya: “Dan (harus berbuka) orang yang sangat dahaga sekira-kira mendapat akan kesukaran yang amat yang tidak tertanggung pada adat.” (Kitab Kasyifatussaja)

Firman Allah Taala:

يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Ertinya: “Allah menghendaki dengan kamu sekelian akan kemudahan dan tidak Dia menghendaki dengan kamu sekelian akan kepayahan (dalam menjalani perintah agama).” (Al-Baqarah: 185)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

يجوز الفطر لمن حصل له أو أرهقه جوع أو عطش شديد يخاف منه الهلاك أو نقصان العقل أو ذهاب بعض الحواس، بحيث لم يقدر معه على الصوم، وعليه القضاء. فإن خاف على نفسه الهلاك، حرم عليه الصيام، لقوله تعالى: {ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة}

Ertinya: “Harus berbuka puasa bagi mereka yang berlaku pada dirinya tersangat lapar atau tersangat dahaga yang dibimbangi daripadanya akan binasa atau kurang aqalnya atau hilang sebahagian pancainderanya dengan sekira-kira tiada mampu lagi dia meneruskan puasa dan wajiblah atasnya qada. Maka jika dia takut binasa dirinya maka haram atasnya meneruskan puasa kerana firman Allah: Dan jangan kamu sekelian kamu sengaja membinasakan diri kamu.” (Kitab Al-FIqh Al-Islami)

Dan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Ertinya: “Tidak ada mudarat dan memudaratkan.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -