
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari menempelak kerajaan kerana tidak bersungguh-sungguh dan ‘sambil lewa’ serta membawa pindaan bersifat ‘kosmetik’ terhadap Perlembagaan untuk diluluskan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian susulan kegagalan kerajaan meluluskan usul pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, semalam.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan sendiri usul tersebut gagal mendapatkan undi mencukupi dua pertiga iaitu 148 sokongan daripada 222 anggota Dewan bagi membolehkan pindaan diluluskan.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu membidas sikap kerajaan di mana dilihat seperti tidak kisah sama ada pindaan itu lulus atau tidak, serta menunjukkan ia sekadar dibentangkan tanpa komitmen yang jelas.
“Sebenarnya pada saya kerajaan tak bersungguh-sungguh pun nak bawa undang-undang ini untuk diluluskan. (Seolah-olah) Bagi pihak kerajaan tak lulus pun tak apa, mereka dah bawa.
“Jadi, ini merupakan pindaan sambil lewa yang dibawa oleh kerajaan. Sebab itu saya sebut semalam ini pindaan kosmetik semata-mata, membuang masa dan bagi pihak kerajaan tak lulus pun tak apa, lulus pun tak apa.
“Jadi saya rasa kalau beginilah sikap kerajaan tak eloklah. Jadi kerajaan tapi tak buat kerja dengan baik. Baik serah kepada pembangkang sajalah,” bidasnya dalam satu video di media sosial miliknya.
Ahmad Fadhli turut menegaskan, dalam keadaan blok kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, sebarang usaha pindaan Perlembagaan sepatutnya perlu dirunding secara baik dengan pembangkang.
Beliau merujuk pendekatan diambil oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan 2018 dan 2019 dalam usaha meminda Perlembagaan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Menurutnya lagi, ketika itu Syed Saddiq mengusahakan rundingan parti ke parti dan sesi libat urus dilakukan bagi memastikan pindaan berkenaan berjaya diluluskan.
“Saya masih ingat bagaimana YB Syed Saddiq jumpa dengan pemimpin-pemimpin pemuda dalam parti-parti politik buat ‘engagement’. (Ia) untuk memastikan rang undang-undang ini berjaya diluluskan.
“Sebab kalau pembangkang tak sokong, ia tidak akan berjaya, Perlembagaan tak boleh dipinda. Di antara cadangan balas kami ketika itu ialah supaya dilaksanakan secara automatik. YB Syed Saddiq terima cadangan itu dan dibawa kepada kerajaan.
“Kerajaan pun terima dan akhirnya dibentangkan kepada Parlimen pindaan Perlembagaan menurunkan had umur 18 tahun dan juga pendaftaran automatik hasil libat urus, dan akhirnya pindaan Perlembagaan berjaya diluluskan,” imbas beliau.
Beliau berkata, pendekatan sama turut dilaksanakan ketika Perikatan Nasional mentadbir negara, termasuk pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan secara sebulat suara hasil rundingan antara parti.
Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, pada era pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pindaan Perlembagaan tidak dibawa kepada rundingan lebih awal dengan pembangkang.
Tambah beliau, pembangkang pernah menyokong pindaan Perlembagaan termasuk berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen yang diluluskan dengan 148 undi menyokong.
“Bila nak buat lagi pindaan Perlembagaan ini sepatutnya runding dulu. Kita runding, kita bincang elok-elok supaya pembangkang boleh membangkitkan isu-isu ini dalam rundingan dan kerajaan boleh menyelesaikan terlebih awal.
“Tapi akibat tidak ada rundingan yang sepatutnya, sesi libat urus yang sepatutnya, akhirnya banyak perkara yang tidak jelas dan pembangkang mengambil sikap untuk berkecuali.
“Kerana bagi pihak pembangkang ada perkara yang belum selesai iaitu rujukan kepada Majlis Raja-raja, walaupun kerajaan mempunyai dimensi atau persepsi pandangannya yang tersendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2026











