Madinah Ramadan warnai Kota Bharu, satukan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Madinah Ramadan terus mencuri tumpuan apabila dianjurkan di tengah bandar Kota Bharu, membuka ruang luas kepada warga kota mengimarahkan bulan Ramadan dengan solat sunat tarawih secara berjemaah serta menghidupkan budaya tadarus al-Quran.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat setempat merebut peluang beribadah secara berjemaah di samping menyemarakkan amalan tadarus sepanjang Ramadan.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan, malah turut menarik kehadiran jemaah dari luar Kelantan yang ingin merasai sendiri kemeriahan suasana Madinah Ramadan.

“Ini adalah usaha kita untuk menarik masyarakat menunaikan solat tarawih dan pada masa sama kita menyediakan teks tadarus bagi menggalakkan orang ramai bertadarus,” katanya ketika merasmikan Madinah Ramadan 1447H di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini.

Beliau menegaskan bahawa Kelantan telah lama membudayakan program tadarus, khususnya sepanjang Ramadan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh syiar Islam di negeri itu.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan dua buku masing- masing berjudul Madinah Ramadan Evolusi Syiar Islam di Kota Bharu: Manifestasi Dasar Membangun Bersama Islam dan Kelantan Sejahtera 2033

karya Wan Syarafi Wan Mustafa serta Infaq Pelaburan Dunia dan Akhirat terbitan Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia.

Turut hadir Penasihat IPTG yang juga mantan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Dato’ Zulkifle Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -