EPIC belanja RM30,000 rai anak asnaf

Amzad menyantuni seorang anak asnaf yang menerima sumbangan kelengkapan Hari Raya pada Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 .
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 140 anak asnaf dari kawasan Parlimen Kuala Terengganu menerima sumbangan kelengkapan Hari Raya membabitkan peruntukan keseluruhan RM30,000 menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 anjuran Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, program bersama Jakel Trading Sdn Bhd cawangan Gong Badak itu sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak terlibat memilih sendiri pakaian raya masing-masing.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, hari ini kita telah memasuki 10 Ramadan dan EPIC mengadakan Majlis Jalinan Kasih Ramadan 2026 dengan membawa 140 anak-anak asnaf membeli kelengkapan Hari Raya.

“Kita tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dibeli. Jika mereka sudah mempunyai baju Melayu, mereka boleh memilih pakaian lain seperti kurta dan sebagainya. Dengan bajet yang diperuntukkan, ada yang mampu membeli lebih daripada sepasang pakaian. Yang penting, semua gembira.

“Hari ini juga, anak-anak bukan sahaja dapat membawa pulang baju raya, malah menerima duit raya serta hamper raya,” katanya ketika sidang media selepas majlis berkenaan, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili.

Amzad berkata, selain peruntukan kira-kira RM200 bagi setiap peserta, program turut menerima sumbangan tambahan daripada JAKEL bagi melengkapkan keperluan sumbangan kepada peserta.

Menurutnya yang juga Ahli Lembaga Pengarah EPIC, inisiatif berkenaan merupakan program tahunan EPIC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang dilaksanakan setiap kali menjelang musim perayaan dan sesi persekolahan.

“Dua tahun kebelakangan ini, EPIC telah mencatatkan keuntungan yang sangat baik dengan rekod pencapaian terbaik dari segi hasil dan keuntungan. Selain menunaikan tanggungjawab seperti pembayaran zakat, keuntungan tersebut turut dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan seperti hari ini,” katanya.

Untuk rekod, peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun itu dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ladang dan Bandar.

Dalam pada itu, Muhtar berkata, syarikat EPIC memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi pelaksanaan program CSR sepanjang tahun ini.

“Setiap tahun kita mempunyai peruntukan khas untuk CSR dan tahun ini jumlahnya RM2.8 juta. Untuk Ramadan sahaja, pelbagai program telah dilaksanakan di Kuala Terengganu, Kemaman dan beberapa lokasi lain.

“Insya-Allah, EPIC komited sebagai syarikat GLC berkaitan kerajaan negeri untuk terus melaksanakan program-program sebegini,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri, EPIC komited meneruskan program kebajikan termasuk bersama anak-anak asnaf, ibu tunggal, nelayan dan petani agar manfaat syarikat dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat Terengganu. – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -