Malaysia perlu pimpin Negara Teluk bersatu demi kedamaian

Tindakan AS lindungi rejim Zionis Israel satu kesalahan besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menempelak kesalahan besar dilakukan Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya hanya melihat kepentingan rejim Zionis-Israel semata-mata.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Amerika Syarikat dan rejim Zionis-Israel menyerang Republik Islam Iran sehingga mengorbankan Pemimpin Agung Iran, as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei.

Hamzah beranggapan kawasan tersebut bukan sahaja penting dari segi kedudukan ekonomi dunia, khususnya melalui pengeluaran minyak yang besar, malah turut membantu dunia selama ini.

“Mengapakah mereka (AS) tidak melihat bahawa kepentingan Negara-negara Teluk juga harus diambil kira?

“Maka sebab itu apabila Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) bangkit dengan satu kenyataan yang keras dan mengatakan mengutuk sekeras-kerasnya Israel dan USA (Amerika Syarikat), kami pembangkang menyokong kenyataan Yang Amat Berhormat itu sekali lagi,” ujarnya.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika membahaskan usul yang dibawa oleh Perdana Menteri bagi mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Presiden, Donald Trump yang disifatkannya sebagai hanya mengambil kepentingan peribadi tanpa melihat kedudukan dunia secara menyeluruh.

Katanya, pelbagai kenyataan didengari menunjukkan Trump dilihat sebagai angkuh dan sombong, seolah-olah hanya beliau yang boleh menentukan masa depan dunia.

Mengulas konflik antara Iran dan Israel, Hamzah merujuk kepada tempoh 12 hari serangan yang berlaku baru-baru ini di mana menunjukkan kenyataan Trump berubah-ubah.

“Trump kata dia benarkan kerana nak menghapuskan nuklear, itu dalam masa 12 hari. Dan akhirnya dia kata kenyataan Trump sendiri yang mengatakan bahawa sudah selesai, tidak ada lagi masalah nuklear. Tapi hari ini isu yang sama, apa dah jadi ni?” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau bukan sahaja menyokong kerajaan, malah memohon agar Malaysia menjadi pemimpin dalam membantu Negara-negara Teluk bersatu bagi menentukan kedamaian di rantau berkenaan.

Katanya, kebanyakan negara di sekitar Teluk adalah negara Islam dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya menyokong usaha memastikan kedamaian berlaku.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas tindakan kerajaan memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

“Terima kasih kerana tindakan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat mengatakan semua rakyat Malaysia akan kita tentukan mereka selamat,” katanya.

Dalam masa sama, Hamzah berkata beliau bukan sahaja menyokong bantuan kepada rakyat Palestin, malah mahu bantuan ditingkatkan.

“Saya bukan hanya menyokong tapi juga mahu kalau boleh kita bantu lagi. Kita berikan bantuan secukup-cukupnya.

“Yang penting kepada kita adalah untuk membantu rakyat Palestin yang selama ini telah hidup dalam keadaan menderita kerana kekejaman kerajaan Zionis yang ada hari ini,” tegasnya.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada Republik Islam Iran atas syahidnya pemimpin besar mereka serta beberapa pemimpin lain dalam serangan yang dilakukan rejim Zionis dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Selain itu, Hamzah mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas kenyataan tegas menentang kezaliman Zionis.

“Tahniah dan syabas sekali lagi kepada kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -

- Advertisement -