
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendesak penjelasan Perdana Menteri berhubung kenyataan Ketua Polis Negara mengenai siasatan terhadap dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan dan sabotaj negara.
Beliau berkata, walaupun berada di blok pembangkang, pihaknya tetap bimbang terhadap keselamatan negara ketika kerajaan memberi perhatian kepada isu keselamatan negara jiran.
“Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai suatu berita yang meletup baru-baru ini.
“(Ia) apabila Ketua Polis Negara menyatakan bahawa polis sedang menyiasat dakwaan konspirasi jatuhkan kerajaan dan sabotaj negara. Apakah ini satu berita yang amat malang kepada rakyat Malaysia?” ujarnya
Beliau menyoal demikian ketika membahaskan usul yang dibawa oleh Perdana Menteri bagi mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, kebimbangan itu timbul susulan kemungkinan campur tangan pihak luar, dengan merujuk situasi di Iran dan Amerika Syarikat.
“Kita bimbang kalau di Iran, Amerika Syarikat boleh campur tangan. Apakah tidak mungkin mereka sebagai penjenayah ataupun penyangak antarabangsa ini boleh campur tangan di dalam negara kita ini?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Malaysia terhadap negara, khususnya negara Islam, yang membenarkan wilayah mereka dijadikan pangkalan tentera Amerika Syarikat sehingga menerima kesan daripada tindakan itu.
“Kita mengutuk dasar-dasar kezaliman Amerika dan negara-negara lain. Apakah dasar ataupun pendirian Malaysia terhadap negara-negara, terutamanya negara Islam.
“(Di mana negara itu) yang membenarkan negara mereka dijadikan pangkalan tentera Amerika, yang akhirnya menyebabkan mereka sendiri menerima akibatnya?
“Negara-negara di sekitar Iran apabila Iran memberi respons kepada serangan itu, yang turut menjadi tempat sasarannya adalah negara-negara itu yang dianggap bersekongkol dengan Amerika Syarikat ini. Saya nak tahu pendirian kerajaan kita dalam hal ini,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut memetik Surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada Nabi Muhammad SAW sehingga baginda menurut kehendak mereka.
Pada masa sama, beliau bersama Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada Iran, pemimpin utama serta rakyatnya atas musibah yang menimpa negara itu pada 28 Februari lalu.
Beliau menegaskan serangan yang berlaku itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan dilakukan oleh sebuah negara yang mendakwa sebagai ‘hero dunia’.
Takiyuddin turut menempelak tindakan Amerika Syarikat yang menghantar 13 kapal perang ke Asia Barat, termasuk kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dan USS Gerald R Ford.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dan Setiausaha Agung PAS itu berkata, tindakan AS itu menunjukkan niat buruk terhadap Iran dan negara-negara di sekitarnya.
Beliau kemudian memetik satu laporan dan rencana yang berbunyi, ‘US kill every single powerful person who was a potential threat to them,’ sebagai gambaran penglibatan Amerika Syarikat dalam pembunuhan pemimpin dunia yang dianggap ancaman.
Antara yang disebut beliau ialah penangkapan dan hukuman gantung terhadap Presiden Iraq, Saddam Hussein pada 2006 selepas ditangkap tentera Amerika Syarikat.
Juga menurutnya, pembunuhan Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada 2011, serta penggulingan dan pembunuhan Presiden Vietnam Selatan, Ngô Đình Diệm pada 1963.
Beliau turut merujuk pembunuhan Perdana Menteri Republik Demokratik Congo, Patrice Lumumba pada 1961 yang dikatakan mendapat sokongan Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Begitu juga katanya, penggulingan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mosaddegh pada 1953 selepas menasionalisasikan industri minyak negara itu.
Selain itu, beliau menyebut penggulingan Presiden Guatemala, Jacobo Árbenz pada 1954, serta penglibatan Amerika Syarikat di Cuba, Afghanistan, Chile, Ghana dan Grenada.
Menurutnya, contoh-contoh itu menunjukkan campur tangan Amerika Syarikat dalam pemerintahan negara yang dipilih secara demokratik.
“Tak kira macam mana pun Amerika akan ‘kill every single powerful person who was a potential threat to them’. Inilah dia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026











