
TEHRAN: Loji kuasa reaktor nuklear Israel di negara haram itu dilaporkan telah musnah akibat ledakan beberapa peluru berpandu balistik Iran dengan awan asap besar naik dan bahan radioaktif bocor.
Menurut Brics News, serangan itu memusnahkan keupayaan nuklear Israel dalam peningkatan besar konflik.
Sementara Facebook Daily Iran Military memuat naik rakaman video menunjukkan api yang marak dan awan asap besar menjulang naik di lokasi kejadian dengan bahan radioaktif dilaporkan bocor.
Serangan balas Iran terhadap Israel itu selepas Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran pada Sabtu menyebabkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei terkorban.
Sehubungan itu, Euronews English pula melaporkan kenyataan bahawa Iran telah berjaya menyasarkan serangan membabitkan 500 lokasi di Asia Barat dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada hari ketiga pertempuran hari ini dilaporkan sebagai berkata, sejak permulaan konflik perang itu, tentera Iran telah menyerang 60 sasaran strategik serta 500 sasaran tentera Amerika dan sasaran rejim Zionis (Israel).
“Kami telah melancarkan lebih 700 dron dan ratusan peluru berpandu,” katanya.
Laporan media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa serangan balas Iran membabitkan lokasi penempatan penempatan tentera AS termasuk di Bahrain, Iraq, Qatar, Kuwat, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.
Terdahulu, Kedutaan Republik Iran di Malaysia dalam kenyataan media berkata, pihaknya tidak akan menambahkan lagi ketegangan sedia ada, tetapi tidak akan berundur daripada tindakan kekerasan yang menyalahi undang-undang.
“Selagi pencerobohan berterusan, Iran akan mempertahankan wilayah, negara dan kedaulatannya menggunakan semua cara yang sah.
Kedutaan tersebut juga mengecam pencerobohan ketenteraan meluas oleh AS dan Israel terhadap negara itu yang dilakukan ketika Iran dan AS sedang dalam rundingan diplomatik berkaitan isu nuklear.
“Tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel tersebut dilaksanakan ‘tanpa sebarang justifikasi undang-undang atau politik’ dan merupakan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara serta integriti wilayah Iran,” tegas kenyataan itu.
Dalam pada itu, CNN melaporkan bahawa enam anggota tentera AS) d terkorban selepas serangan balas langsung Iran terhadap pusat operasi sementara di Pelabuhan Shuaiba, di Kuwai pada pagi kelmarin waktu tempatan.
Menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), peningkatan jumlah korban selepas mayat dua lagi anggota ditemukan pada petang semalam.
Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth berkata, serangan dipercayai dron melanda pusat operasi taktikal yang diperkukuh, namun satu daripadanya telah berjaya melepasi pertahanan udara.
Sementara Al Jazeera melaporkan pasukan tentera Israel berkata pihaknya meneruskan serangan mereka ke atas Tehran dan Beirut (Lubnan), termasuk serangan ke atas stesen penyiar kerajaan Iran, ketika jumlah kematian di Iran dan Lubnan didakwanya melebihi 600 orang.
Presiden AS, Donald Trump pula berkata, kempen ketenteraan terhadap Iran boleh berlangsung selama kira-kira empat minggu atau lebih, dan berikrar bahawa Washington akan melakukan apa sahaja untuk memusnahkan keupayaan apa yang didakwanya sebagai peluru berpandu dan nuklear Tehran. – HARAKAHDAILY 2/3/2026











