Kes terbaharu pijak al-Quran cetuskan kemarahan umum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu lagi insiden mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video memaparkan seorang lelaki memijak kitab suci al-Quran tular di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi beberapa saat itu dipercayai dimuat naik melalui sebuah akaun TikTok sebelum tersebar pantas ke pelbagai platform media sosial lain.

- Advertisement -

Walaupun kandungan asal telah dipadam, rakaman tersebut sempat dimuat turun dan terus menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan netizen.

Pemilik akaun berkenaan yang dipercayai berbahasa Melayu dan memiliki beberapa akaun lain dengan nama serta gambar hampir serupa.

Sehubungan itu, warganet mengecam tindakan tersebut, dengan ramai menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

Insiden terbaharu ini berlaku ketika kontroversi panas sebelum ini belum reda melibatkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) yang memijak al-Quran, yang telah menimbulkan kemarahan orang ramai dan perdebatan hangat di media sosial.

Kes tersebut menjadi pengajaran bahawa penyebaran kandungan yang menghina kesucian agama boleh mencetuskan reaksi meluas serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menyiarkan atau menyebarkan kandungan media sosial yang bersifat provokatif atau menyinggung perasaan.

Mereka menekankan kepentingan menghormati kesucian kitab suci dan sensitiviti agama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pengguna media sosial juga digesa untuk segera melaporkan sebarang kandungan yang menyalahi undang-undang atau etika agar tindakan sewajarnya dapat diambil sebelum ia menimbulkan kontroversi atau ketegangan lebih lanjut. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -