
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menegaskan bahawa reformasi perlu hadir dengan prinsip yang jelas dan pembaharuan yang substantif, bukan sekadar retorik atau penampilan luaran semata-mata.
Ketua Sektor Generasi Baharu (NUGEN) DPPM berkata, Nazrul Nazir, pihaknya telah meneliti dua Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, RUU tersebut merujuk kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang menetapkan had tempoh Perdana Menteri selama 10 tahun serta Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.2) 2026 mengenai pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Beliau menegaskan, reformasi yang dicadangkan melalui kedua-dua RUU perlu menanggapi tujuan perubahan secara menyeluruh dan bukan sekadar populis tanpa hala tuju jelas.
“Penetapan had tempoh 10 tahun bagi penjawatan Perdana Menteri mungkin dari satu sudut mengehadkan seseorang daripada memegang jawatan tersebut terlalu lama.
“Namun, ia tidak bermakna jika pemusatan kuasa terhadap Perdana Menteri masih berlaku. Malah, individu yang dahulunya mengecam pemusatan kuasa turut melakukan perkara sama hari ini,” tegas Nazrul dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa pemegang jawatan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan (MOF) lebih berpotensi terdedah kepada salah laku berbanding mereka yang memegang jawatan lebih 10 tahun.
Tambah Nazrul, hujahan bahawa had tempoh jawatan Perdana Menteri mencerminkan kematangan demokrasi tidak tepat.
Beliau menyatakan, negara maju seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, Perancis, Belgium dan Korea Selatan tidak meletakkan had jawatan sedemikian.
“Adakah negara-negara tersebut belum cukup matang untuk mengetengahkan had kepada jawatan Perdana Menteri?” soalnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, reformasi sepatutnya memberi tumpuan kepada memperkukuh institusi semak dan imbang Parlimen serta memastikan ketelusan dalam pilihan raya bagi memastikan wakil rakyat yang layak mentadbir negara.
“Malah, pindaan ini juga secara tidak langsung mengehadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam konteks pelantikan Perdana Menteri sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” bidasnya.
Dalam konteks pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Nazrul berkata, walaupun ia cantik di atas kertas, ketiadaan mekanisme semak dan imbang terhadap pelantikan Pendakwa Raya boleh menyebabkan masalah lama berulang.
“Jika mekanisme pelantikan dan kuasa perundangan yang diberikan kepada Pendakwa Raya (rujuk Fasal 6 RUU) tiada suatu sistem semak dan imbang yang berkesan dan efektif, maka pindaan ini juga tidak ada makna untuk diluluskan di Dewan Rakyat.
“Bagaimana Kerajaan mahu memastikan seorang Pendakwa Raya adalah seorang yang bukan sahaja bebas bahkan dilihat bebas menjalankan fungsinya untuk melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap sesiapapun?” soalnya lagi.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa kuasa Pendakwa Raya untuk ‘memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding’ boleh membuka ruang kepada campur tangan politik seperti sebelum ini.
Nazrul menegaskan, kedua-dua pindaan Perlembagaan Persekutuan itu masih perlu diperhalusi dengan mendalam dan mengambil kira peranan institusi Parlimen sebagai badan semak dan imbang yang berkesan.
“Reformasi tidak wajar dilaksana secara semberono yang indah di atas permukaannya sahaja sedangkan isinya masih sama. Jangan jadi reformasi tin kosong!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026











