Perantau Kelantan banjiri Ihya’ Ramadan Perdana

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kehadiran kira-kira 2,000 anak Kelantan membanjiri Program Ihya’ Ramadan Perdana Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026 membuktikan ikatan ukhuwah antara kepimpinan negeri dan rakyat perantau terus kukuh walau terpisah jarak.

Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) itu menjadi medan penting mempertemukan kepimpinan negeri bersama anak-anak Kelantan bagi Zon Lembah Klang dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud menegaskan, Ihya’ Ramadan bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya platform strategik menyatukan pemimpin dan rakyat.

Menurut beliau, komitmen berterusan kerajaan negeri menganjurkan program berkenaan setiap tahun membuktikan kesungguhan untuk terus mendekati anak Kelantan di perantauan, selain memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta hala tuju pentadbiran negeri.

“Ihya’ Ramadan menjadi medan untuk kita merapatkan saf, memperteguhkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat kebersamaan walaupun berada jauh daripada tanah kelahiran,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menyifatkan kehadiran besar anak-anak Kelantan saban tahun sebagai tanda kasih dan tanggungjawab terhadap negeri, sekali gus membuktikan jati diri Kelantan kekal utuh walaupun berada jauh dari kampung halaman.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantau Malaysia (PERAKAN), Mohd Ariff Yusoff merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan atas kesudian bersama anak-anak perantau dalam majlis berbuka puasa berkenaan.

“Bagi pihak PERAKAN, saya merakamkan penghargaan kepada MB Kelantan kerana sudi bersama kami anak-anak Kelantan di perantauan.

Kehadiran beliau membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan anak Kelantan di mana sahaja kami berada,” katanya.

Tambah beliau, walaupun berjauhan dari negeri kelahiran, semangat jati diri Kelantan tetap mekar dalam kalangan perantau yang sentiasa Komited menjadi penghubung antara komuniti anak Kelantan dan pimpinan kerajaan negeri.

“Program Ihya’ Ramadan Perdana ini terus mengukuhkan peranannya sebagai wadah tahunan yang menyemarakkan kebersamaan, memperteguh ukhuwah dan memastikan hubungan kepimpinan negeri bersama anak Kelantan di perantauan sentiasa akrab dan harmoni,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -