
KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama kerajaan membendung penularan budaya songsang daripada terus merosakkan kesejahteraan mental, fizikal dan moral institusi kekeluargaan dalam masyarakat.
Pengerusinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya menyokong penuh saranan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.
Menurutnya, Marhamah menyarakankan agar masyarakat umum menggunakan istilah ‘budaya songsang’ bagi menggantikan penggunaan rujukan terhadap komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).
Beliau berkata, langkah itu amat bertepatan bagi mengelak proses normalisasi gaya hidup berkenaan dan mengekang peluasan algoritma kandungan berkaitan di platform media sosial.
“Kami bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri bahawa penggunaan istilah yang selaras di dalam pengucapan dan penulisan ini amat penting supaya budaya tersebut tidak dipromosikan secara tidak langsung.
“Jika istilah asalnya terus disebut, ditulis dan diulang tayang, ia akan menyebabkan lambakan kandungan berkaitan muncul secara ‘pop-out’, yang akhirnya secara tidak sedar seolah-olah mempromosikan budaya songsang tersebut kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Yunus berkata, pemantauan berterusan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan pautan kandungan yang melanggar undang-undang dan nilai agama amat wajar disokong.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lajnah Kesihatan PAS mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Amnesty International Malaysia yang mengecam saranan Timbalan Menteri berkenaan.
Menurutnya, kenyataan juru kempen kumpulan hak asasi itu, Qistina Johari yang mendakwa kononnya seruan kerajaan berkenaan menghalalkan diskriminasi dan kebencian terhadap komuniti yang sedia rentan adalah sangat dangkal dan tidak boleh diterima.
“NGO (badan bukan kerajaan) tersebut tidak wajar menuduh pemimpin kerajaan menjadikan bahasa sebagai senjata untuk menentang komuniti terpinggir.
“Sebaliknya, langkah mencegah ‘budaya songsang’ ini adalah paksi utama dalam menegakkan moral masyarakat.
“(Ia) bersesuaian dengan hakikat bahawa tingkah laku ini memang terus dikriminalkan di bawah undang-undang Persekutuan.
“Termasuk Kanun Keseksaan serta pelbagai peruntukan undang-undang syariah di peringkat negeri,” tegas Ahli Parlimen Kuala Langat itu..
Beliau berkata, pihak berkuasa telah menjalankan tanggungjawab dengan menahan ratusan individu berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, selain membatalkan penganjuran program tidak bermoral seperti ‘Glamping with Pride’.
Sehubungan itu, katanya lagi, pihak luar atau NGO tidak perlu mencampuri dan mempertikaikan kedaulatan undang-undang agama di negara ini.- HARAKAHDAILY 2/3/2026











