
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memaklumkan operasi umrah kendalian syarikat terus berjalan seperti biasa dengan pemantauan rapi susulan perkembangan situasi keselamatan di Timur Tengah.
Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, penerbangan MH150 yang membawa 85 jemaah Andalusia hari ini telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan atas faktor keselamatan dan keputusan itu adalah di luar kawalan pihak syarikat.
“Sejurus menerima makluman tersebut, pihak pengurusan telah mengambil tindakan segera dengan mengatur penerbangan alternatif bersama Saudia Airlines bagi memastikan jemaah dapat meneruskan perjalanan ibadah tanpa penangguhan yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan utama dan perjalanan hanya akan diteruskan sekiranya laluan udara serta operasi penerbangan disahkan selamat oleh pihak berkuasa antarabangsa.
Jelasnya, setakat ini penerbangan ke Arab Saudi masih beroperasi seperti biasa dan pihak berkuasa negara itu tidak mengeluarkan sebarang arahan penutupan ruang udara atau sekatan kemasukan jemaah umrah.
Bagi kumpulan jemaah yang akan datang, Andalusia telah memperkukuhkan pemantauan operasi secara harian serta berada dalam komunikasi berterusan dengan syarikat penerbangan dan rakan strategik di Arab Saudi.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa semua tempahan hotel di Tanah Suci adalah berdasarkan kontrak antarabangsa yang telah dibayar sepenuhnya dan tidak boleh dibatalkan. Justeru, sebarang perubahan jadual penerbangan akan diuruskan secara strategik bagi memastikan kepentingan jemaah dan kelangsungan operasi ibadah tidak terjejas,” ujarnya.
Andalusia turut memberi jaminan bahawa setiap keputusan akan dibuat secara berhati-hati, profesional dan bertanggungjawab selaras dengan piawaian keselamatan industri penerbangan antarabangsa.
“Kami menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam. Andalusia komited untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan terkini dari semasa ke semasa,” katanya lagi. -HARAKAHDAILY 2/3/2026




















