Kelantan: Surah al-Anfal teks tadarus rasmi Ramadan 1447

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kerajaan negeri memilih ayat 24 hingga 28 dari surah al Anfal sebagai teks tadarus rasmi sempena Ramadan tahun ini, bahkan menjadi tradisi sejak Kelantan diperintah oleh PAS sejak 34 tahun lalu.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, Kelantan sebagai ‘Universiti Terbuka’ sentiasa mendidik rakyat mengenai ajaran al Quran dalam aspek kenegaraan dan sosial.

- Advertisement -

Beliau berkata, pemilihan lima ayat tersebut bertujuan memberi kefahaman rakyat Kelantan mengenai kehidupan berpandukan iman, tanggungjawab sosial, amanah dalam kepimpinan dan pentadbiran serta ketahanan jati diri.

“Teks ini kita jadikan bahan bacaan (tadabur) supaya kita memahami maksud sebenar lima ayat yang dipilih pada tahun ini, agar rakyat kita jadi insan yang taat segala perintah dan ajaran Allah yang ada dalam ayat ini.

“Apa-apa sahaja perintah, hukum dan ajaran yang terkandung dalam ayat al-Quran ini hendaklah dijadikan panduan dalam kehidupan harian kita dan diusahakan agar dapat dilaksanakan sepenuhnya di negeri kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ambang Ramadan dan Pelancaran Teks Tadarus Ramadan di Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing) di sini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud itu turut dihadiri Penasihat Undang-Undang, Dato’ Idham Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azi Rahimee Mohamad.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu berkata lagi, ayat tersebut menjadi topik utama program tadarus seluruh Kelantan sekaligus memberi pendedahan terhadap intipati kandungan al Quran kepada semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan negeri mengeluarkan arahan dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) melalui Bahagian Dakwah Halaqat yang menjadi nadi utama dalam pelaksanaan program tersebut,” jelas beliau.

Menurutnya, beliau menaruh harapan agar kelima-lima ayat itu dapat dihadam oleh semua lapisan masyarakat di masjid, pejabat dan institusi pendidikan memastikan maksud sebenar direalisasikan dalam kehidupan harian.

“Amanah bukan sekadar jawatan, tetapi merangkumi segala anugerah Allah SWT kepada kita seperti harta, anak pinak, tanggungjawab dan apa sahaja yang ditaklifkan untuk dilaksanakan tanpa cuai, semua taat perintah Allah.

“Sekiranya perkara ini dijaga seperti solat membaca al Quran dan menjadi keutamaan dalam jiwa masyarakat kita, insya-Allah gejala sosial, perkara mungkar dan maksiat yang ada dalam masyarakat dapat dielakkan,” katanya.- HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -