Khazanah Ilahi lawan manipulasi digital masa kini

Ahmad Yacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemilihan ayat 24 hingga 28 surah al Anfal yang mempunyai kaitan khusus dengan fitnah, yang kini membawa satu dimensi baharu, bukan lagi sekadar lisan tetapi membabitkan manipulasi digital yang lebih canggih.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ayat tersebut menjadi teks tadarus rasmi kerajaan negeri sempena bulan Ramadan tahun ini untuk dihayati oleh seluruh kawasan di Kelantan.

- Advertisement -

Beliau berkata, kecerdasan buatan (AI) mampu mencipta video dan audio palsu yang kelihatan benar, malah perkembangan tersebut menjadi lebih kritikal kerana teknologi itu mampu mengaburi garis antara kebenaran dan juga kepalsuan.

“Kita perlu banyak mendapat khazanah Ilahi dikeluarkan untuk diamalkan untuk hadapi cabaran yang sedang berlaku pada hari ini terutama fitnah itu semakin meluas dengan adanya media baru (AI), ini fenomena baru menakutkan.

“Perkara yang media baru ini yang boleh mempengaruhi hidup masyarakat, boleh memesongkan cara pemikiran dan sebagainya, itu cabaran yang ada, insya-Allah harap sahabat pentazkirah dapat membimbing semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pertama dan menyempurnakan majlis pelancaran tazkirah zohor ramadan PAS Kelantan di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan Badan Perhubungan PAS Kelantan.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Penerangan PAS Kelantan dan ADUN Demit, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.

Ahmad yang juga ADUN Pasir Pekan turut menekankan agar semua kepimpinan negeri dapat memahami kandungan sebenar ayat tersebut untuk dibawa keperingkat akar umbi sekaligus menerapkan intipati dalam kehidupan rakyat.

“Sebab itu sentuhan al Quran itu terlampau banyak yang boleh membina kekuatan kepada kita, sesuai bulan ini bulan turun al Quran memang sepatutnya bukan sahaja kita membaca tetapi memahami dalam pelbagai bentuk suasana.

“Jadi, insya-Allah pentazkirah kita akan datang ini mungkin akan mengambil bahagian tertentu dalam kekuatan dalam ramadan seperti ini untuk mengeluarkan sebanyak mungkin khazanah ilahi untuk panduan kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -