Pemuda PAS Kelantan santuni warga emas Cina

- Advertisement -

BACHOK: Dewan Pemuda PAS Kelantan mengambil kesempatan menziarahi masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi program Ziarah Kebajikan CNY yang diadakan di Kampung Balai.

Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, program berkenaan bertujuan menyantuni golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama, di samping berkongsi kegembiraan sempena perayaan tersebut.

- Advertisement -

Menurut beliau, dalam ziarah itu pihaknya telah menyantuni dua warga emas iaitu Kechiam Eh Phong yang hidup sebatang kara serta Owie Beng Seng yang kini berkerusi roda.

“Ziarah kali ini bertujuan berkongsi rasa gembira sempena Tahun Baharu Cina bersama mereka, lebih-lebih lagi seorang daripadanya hidup sebatang kara.

“Kita sama-sama meraikan mereka agar rasa sunyi itu dapat diubati dan mereka tidak berasa terpinggir,” katanya ketika ditemui di sini.

Kehadiran rombongan pemimpin muda itu ternyata menggembirakan kedua-dua warga emas terbabit yang tidak menjangkakan kunjungan berkenaan.

Mereka turut menerima sumbangan berupa pakaian baharu, limau mandarin dan angpau sebagai tanda ingatan sempena sambutan tersebut.

Program itu juga dilihat sebagai usaha berterusan dalam memupuk keharmonian serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -