Ramai bekas ahli BERSATU sertai PAS di Pokok Sena

- Advertisement -

POKOK SENA: PAS Kawasan Pokok Sena menerima 150 borang keahlian PAS yang diserahkan pada program Santai Durian, di Pusat Khidmat DUN Bukit Pinang, di sini.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Dato’ Wan Romani Wan Salim berkata, kebanyakan yang memohon menjadi ahli PAS itu adalah dari kalangan bekas ahli parti BERSATU.

“Saya pun tidak menyangka, mereka datang serah borang keahlian PAS pada majlis ni. Sebab program ini santai-santai sahaja,” jelas beliau ketika dihubungi.

Selain bekas ahli parti BERSATU, ujar Wan Romani, terdapat juga ahli-ahli parti lain yang tekad mengambil keputusan untuk menyertai PAS.

Dalam pada itu kata beliau, keputusan 150 penduduk dari Kampung Terong Asam dan Sungai Mati itu, merupakan satu tindakan baik dan bijak.

Apatah lagi dalam situasi politik tanah air yang tidak menentu akibat kegagalan Kerajaan Madani menerajui negara.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada mereka ini kerana memilih untuk menjadi ahli keluarga PAS,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang itu lagi.

Sementara itu, 150 borang keahlian berkenaan diserahkan oleh wakil mereka iaitu Mohd Salmee Jamaliddin kepada beliau pada majlis tersebut. –HARAKAHDAILY 7/7/2026

- Advertisement -