Amanah pemimpin adalah untuk membantu rakyat

Nushi bersama Arshed Yahya atau Awang menyelami pelbagai realiti kehidupan rakyat di Simpang Jeram.
- Advertisement -

BAKRI: Ziarah masyarakat oleh calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Simpang Jeram, Arshed Yahya menjadi medan menyelami pelbagai realiti kehidupan rakyat yang berdepan ujian kesihatan, kesempitan hidup dan cabaran harian.

- Advertisement -

Ustaz Nushi Mahfodz berkata, pengalaman mengiringi calon itu dari rumah ke rumah menyedarkannya bahawa amanah seorang pemimpin bukan sekadar mendengar keluhan rakyat, sebaliknya memahami keadaan mereka dan berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Semakin saya turun bertemu masyarakat, semakin saya terasa beratnya amanah untuk mendengar denyut nadi rakyat dan menyelami ujian yang sedang mereka lalui.

“Setiap rumah yang kami kunjungi meninggalkan cerita yang berbeza serta memberi keinsafan bahawa tugas seorang pemimpin bukan sekadar mendengar, tetapi perlu memahami dan berusaha mencari penyelesaian kepada kesusahan rakyat,” katanya.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat itu berkongsi, antara kisah paling menyentuh hati ialah sebuah keluarga diketuai ibu tunggal yang membesarkan tiga anak dengan bantuan ibu bapanya selepas berpisah dengan suami.

Katanya, anak sulung wanita itu yang berusia tujuh tahun merupakan kanak-kanak berkeperluan khas, manakala anak kedua yang masih di peringkat prasekolah sedang menjalani rawatan kemoterapi akibat penyakit buah pinggang.

“Walaupun sudah lanjut usia, datuk kepada kanak-kanak itu masih gigih mencari rezeki dengan melakukan kerja membersihkan papan tanda demi menyara keluarga.

“Pengalaman seperti ini benar-benar menyedarkan saya bahawa di sebalik kemeriahan kempen pilihan raya, masih ramai rakyat yang memerlukan perhatian, bantuan dan sokongan daripada semua pihak,” jelasnya.

Selain keluarga berkenaan, rombongan beliau turut menziarahi beberapa penduduk lain yang sedang berdepan masalah kesihatan termasuk seorang wanita mengalami sakit lutut serta seorang imam di mana isterinya sedang menerima rawatan akibat influenza.

Mereka turut menziarahi seorang pemimpin masyarakat yang dikenali sebagai ketua pakatan kerana sering mengetuai aktiviti rewang dan pelbagai program kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Menurut Nushi lagi, bekas anggota tentera yang pernah menetap di Terengganu itu berkongsi pelbagai pengalaman hidup yang memberi inspirasi sepanjang pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, rombongan mereka turut singgah di sebuah bilik gerakan Umno dan bertemu beberapa ahlinya dalam suasana penuh hormat serta ukhuwah.

“Perbezaan wadah politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuhkan penyatuan ummah.

“Kita mungkin berbeza wadah dan pendekatan politik, tetapi akidah yang menyatukan kita jauh lebih besar daripada perkara yang memisahkan.

“Cabaran yang sedang dihadapi umat Islam hari ini menuntut kita memperbanyakkan titik persamaan berbanding perbezaan demi kebajikan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata, pertemuan itu membuka ruang kepada kedua dua pihak berkongsi harapan agar kepimpinan atasan terus mencari titik persamaan ke arah memperkukuhkan penyatuan ummah.

Katanya, usaha menyantuni masyarakat perlu terus diperkasakan bagi mengeratkan hubungan sesama rakyat, memperkukuhkan ukhuwah dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan walaupun berbeza fahaman politik. – HARAKAHDAILY 8/7/2026

Nushi dan Awang meluangkan masa di Balai Operasi Umno Simpang Jeram.
- Advertisement -