Anak Muda Tamu Ramadan bentuk generasi belia berprinsip

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Majlis Pelancaran Anak Muda Tamu Ramadan dilancarkan sebagai usaha kerajaan negeri memupuk generasi belia yang berilmu, berakhlak serta berjiwa kepimpinan selari dengan roh Ramadan.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, yang menekankan bahawa Ramadan adalah madrasah kepimpinan yang mengajar disiplin diri, kawalan emosi serta hubungan yang kukuh dengan Allah SWT.

- Advertisement -

Menurut beliau, puasa mendidik disiplin, solat tarawih melatih istiqamah manakala tadarus al-Quran menanam kecintaan kepada ilmu dan kefahaman terhadap wahyu.

“Seluruh struktur Ramadan adalah latihan kepimpinan. Seorang pemimpin mesti ada disiplin diri, kawalan emosi dan hubungan yang kukuh dengan Allah SWT.

“Anak muda yang kuat rohaninya akan kuat jati dirinya, dan daripada situlah lahir pemimpin yang amanah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini.

Beliau turut menegaskan bahawa anak muda bukan sahaja pemimpin masa depan, tetapi rakan pembangunan masa kini yang memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju negeri.

Katanya, sejarah Islam membuktikan golongan muda menjadi pemangkin perubahan besar apabila dibimbing dengan pendidikan dan nilai yang betul.

“Potensi anak muda sangat besar apabila dibimbing dengan nilai dan tarbiah yang tepat. Pembangunan belia mesti menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aktiviti bermusim sahaja,” ujarnya.

Beliau turut mengakui cabaran anak muda masa kini bukan kecil, termasuk media sosial, pengaruh luar serta krisis nilai dan identiti, sekali gus menuntut pendekatan pembangunan insan yang berteraskan al-Quran.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited memastikan agenda belia melibatkan pembangunan rohani, intelektual, kepimpinan serta perpaduan masyarakat.

“Ramadan adalah bulan al-Quran. Petunjuk yang diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, tetapi difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau juga menyatakan, al-Quran memberi kejelasan, ketenangan dan prinsip

Sehubungan itu, beliau menyeru agar anak muda menjadikan Ramadan sebagai titik perubahan dengan memperkukuhkan ilmu, membina akhlak serta mengukuhkan jaringan positif demi masa depan negeri.

“Negeri ini memerlukan anak muda yang berprinsip, bukan sekadar beremosi; yang berjiwa besar, bukan sekadar berani bersuara,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap program itu menjadi titik tolak melahirkan generasi belia Kelantan yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selari dengan. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -