Madinah Ramadan berkembang jadi agenda nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganjuran Madinah Ramadan kini dilihat berkembang sebagai agenda nasional yang menghimpunkan kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil, sekali gus menampilkan pendekatan pengurusan bandar berteraskan nilai Islam yang tersusun serta memberi impak kepada masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, perkembangan tersebut menunjukkan Madinah Ramadan tidak lagi terbatas sebagai inisiatif setempat, sebaliknya telah diperluaskan sebagai agenda bersama di peringkat nasional.

“Madinah Ramadan bukan lagi milik satu bandar semata-mata, sebaliknya telah berkembang sebagai agenda bersama yang didukung jaringan korporat, masyarakat sivil dan kepimpinan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Penajaan Madinah Ramadan 1447H yang berlangsung di ibu negara.

Menurutnya, penganjuran majlis di Kuala Lumpur membawa makna tersendiri kerana mencerminkan peluasan peranan Madinah Ramadan daripada sebuah program bandar kepada gerakan yang disokong pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan masyarakat sivil.

Beliau menjelaskan, Madinah Ramadan tidak wajar dilihat sebagai program bermusim, sebaliknya merupakan ekosistem ibadah bandar yang menggabungkan elemen dakwah, kebajikan, keilmuan, pengurusan sosial dan pembangunan insan dalam satu kerangka yang terancang.

“Pengalaman pelaksanaan di Kota Bharu sejak sekian lama membuktikan prinsip Islam boleh diterjemahkan secara praktikal dalam tadbir urus bandar secara inklusif dan beretika, sekali gus memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan Masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, sumbangan dan penajaan yang diberikan bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi merupakan pelaburan sosial berasaskan nilai yang menunjukkan kesediaan sektor korporat bersama kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rohani, budaya kebersamaan serta agenda kebajikan dan pembangunan insan.

“Pendekatan tanggungjawab sosial korporat yang menyokong Madinah Ramadan memperlihatkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan masyarakat dan negara, bukan semata-mata keuntungan material,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan inisiatif Madinah Ramadan selari dengan aspirasi Kelantan Sejahtera 2033 yang memberi penekanan kepada pembangunan berasaskan nilai, kepimpinan berintegriti dan kesejahteraan menyeluruh.

“Madinah Ramadan menjadi platform penyatuan rakyat dan kerajaan, medan pembinaan kepimpinan masyarakat serta model tadbir urus Islam yang berpotensi dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan lain,” katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Faziharudean Tengku Feissal. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -