
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa supaya direhatkan daripada tugas rasmi sementara siasatan dijalankan secara telus.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan demikian sebagai salah satu daripada tiga saranan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi penting negara susulan isu membabitkan Azam Baki.
Ia susulan laporan Bloomberg yang telah mendedahkan dakwaan baharu berkaitan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu.
Laporan itu menyatakan bahawa Azam Baki memegang sebanyak 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai semasa dianggarkan hampir RM800,000, berdasarkan dokumen syarikat.
Mohd Syahir turut menggesa supaya satu notis pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 diserahkan kepada Azam Baki.
Beliau juga mendesak agar Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu tampil memberi penjelasan berhubung pematuhan pekeliling serta larangan penjawat awam berkaitan pemilikan saham dan potensi konflik kepentingan.
“Dalam hal ini, kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara hendaklah dipulihkan. Langkah reformasi dan pemulihan ini hanya dapat dijayakan melalui tindakan yang tegas, telus dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Syahir menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan Azam Baki dengan ungkapan, ‘Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia’.
Tambah Setiausaha Politik Presiden PAS itu, apabila integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM dipersoalkan, Perdana Menteri sewajarnya bersikap tegas, konsisten dan tanpa kompromi.
“Perlu diingatkan, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Peguam Negara (AG) merupakan tonggak kepercayaan negara. Integriti institusi pengawal ‘sendi’ negara ini mesti dipelihara pada tahap paling tinggi,” katanya.
Terbaharu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri menegur pihak yang terus mengkritik Azam Baki, susulan laporan pemilikan sahamnya, dengan menekankan pentingnya mendengar penjelasan terlebih dahulu.
Beliau menegaskan tindakan memecat atau mendesak Azam meletak jawatan tidak wajar sebelum fakta disemak, berkata, “Orang buat kerja, nak pecat pasal apa?”.
Azam pula mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan terhadap Bloomberg berhubung laporan yang disifatkannya mengelirukan dan fitnah mengenai urus niaga saham lamanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mendesak Perdana Menteri memberikan penjelasan terbuka berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang melebihi had dibenarkan penjawat awam.
Beliau menegaskan isu itu menyentuh integriti SPRM dan ketelusan perkhidmatan awam, serta kegagalan penjelasan boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan persepsi antarabangsa.
Ahmad Fadhli menegaskan Tan Sri Azam Baki wajar meletakkan jawatan atau perkhidmatan ditamatkan sekiranya kerajaan terus berdiam diri. – HARAKAHDAILY 12/2/2026











