Kenapa tiba-tiba kaji semula pekeliling saham penjawat awam?

Susulan dakwaan pemilikan saham oleh Azam Baki melebihi had ditetapkan dalam pekeliling kerajaan 2024  

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan langkah kerajaan yang tiba-tiba mahu mengkaji semula pekeliling pemilikan saham oleh penjawat awam.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media tempatan berkenaan tindakan kerajaan yang sedang mengkaji semula pekeliling lama, termasuk isu pemilikan saham oleh penjawat awam, yang berusia lebih 20 tahun atau dianggap tidak lagi relevan.
 
Langkah itu menurut laporan berkenaan adalah bertujuan mengemas kini peraturan dan garis panduan perkhidmatan awam mengikut keadaan semasa dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.
 
Isu itu berbangkit susulan laporan Bloombergmengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu.
 
Difahamkan, nilai semasa saham berkenaan dianggarkan hampir RM800,000, melebihi had ditetapkan dalam pekeliling kerajaan 2024, berdasarkan dokumen syarikat.
 
Terbaharu, turut dilaporkan bahawa Azam Baki, menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak Julai tahun lalu.
 
Namun beliau menafikan dakwaan media bahawa masih memiliki saham dalam Awanbiru Technology Berhad atau Velocity Capital Partner Bhd, dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat.
 
Dalam penjelasannya, Azam berkata, pegangan sahamnya sebelum ini dibeli di pasaran saham dan telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), tanpa melibatkan modal berbayar melebihi had ditetapkan. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -
- Advertisement -