
KUALA LUMPUR: Parti Islam Semalaysia (PAS) menegaskan pendirian untuk menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap isu binaan haram, termasuk yang melibatkan rumah ibadat.
Parti itu hadir pada perbincangan bersama Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) bagi mendengar perkembangan usaha yang digerakkan oleh pertubuhan itu, termasuk pelantikan penyelarasnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Hotel Tamu, di sini, semalam.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, PAS sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap semua binaan haram seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
“Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia PAS sebagaimana yang saya tegaskan di dalam Dewan Rakyat dalam perbahasan saya pada dua minggu lepas bahawa kita sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan.
“Jadi, apabila undang-undang telah ada sedia ada dalam isu binaan haram ini, maka kita menggesa kerajaan untuk bertindak tegas.
“(Ia) sebagaimana kerajaan juga bertindak tegas terhadap binaan-binaan haram yang lain. Jadi begitu juga dalam isu binaan haram yang melibatkan rumah ibadat ini,” katanya kepada media.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menyatakan, PAS akan menyokong perjuangan GARAH dan meneruskannya dalam Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa surat rujukan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung isu ucapan 3R (Agama, Bangsa, Raja) di Dewan Rakyat telah dijawabnya.
Menurutnya, beliau yakin usul yang dikemukakan tidak sepatutnya diteruskan kerana ucapan beliau tidak menyentuh mana-mana agama atau kaum tertentu.
Katanya lagi, PAS menjunjung kasih titah Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong yang menyeru supaya isu itu diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Itulah dia yang diperjuangkan oleh GARAH iaitu untuk mengemukakan penyelesaian ataupun melaksanakan penyelesaian undang-undang terhadap isu binaan haram ini yang telah pun semakin hari semakin meningkat setiap tahun mengikut data yang kita ada,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dihentikan segera kerana menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Baginda menegaskan setiap rumah ibadat perlu dibina dengan permohonan dan kelulusan sah pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk kuil, selaras dengan peraturan dan perancangan bandar.
Baginda juga mengingatkan kerajaan dan PBT supaya meneliti permohonan secara telus dan memantau pembinaan agar isu ini dapat dibanteras serta dikawal.
Turut dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan isu berkaitan agama, termasuk pembinaan rumah ibadat, tidak dipolitikkan dan mesti ditangani mengikut peraturan serta undang-undang.
Baginda menegaskan rakyat wajib mematuhi undang-undang, menunjukkan sikap saling menghormati, dan menjaga keharmonian negara berbilang kaum.
Agong mengingatkan sebarang perbezaan hendaklah diselesaikan melalui saluran sah untuk mengekalkan toleransi, keamanan dan perpaduan. – HARAKAHDAILY 12/2/2026











