‘Negara stabil bukan dengan tekanan, tapi keadilan’

Pihak berkuasa perlu tegas isu pembinaan kuil tanpa kebenaran yang sah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Negara yang stabil dan harmoni tidak dibina dengan cara menekan suara rakyat, sebaliknya ia perlu diasaskan dengan sikap mendengar, bertindak dan berlaku adil.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, isu pembinaan kuil tanpa kebenaran yang sah perlu dinoktahkan segera dengan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

- Advertisement -

Menurutnya, apabila saluran rasmi tidak lagi diyakini dan tindakan sewajarnya gagal diambil pada waktunya, maka lahirlah kemarahan rakyat.

“Rakyat yang terlalu lama memendam rasa akhirnya bangkit bertindak bagi mempertahankan hak mereka. Ini bukan soal emosi semata-mata, tetapi soal kepercayaan yang semakin terhakis.

“Namun dalam masa yang sama, kita tetap berpegang bahawa negara ini mesti dipandu oleh undang-undang dan keadilan. Tanggungjawab terbesar terletak pada pihak berkuasa untuk memulihkan keyakinan rakyat melalui tindakan yang telus, berani dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu ini tidak boleh dilihat secara emosi semata-mata kerana fakta undang-undang sudah jelas.

Beliau merujuk kepada surat rasmi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertarikh 14 Mac 2022 yang menyatakan bahawa struktur berkenaan berada di atas tanah hak milik dan pemilik perlu menyelesaikan perkara tersebut.

“Ini menunjukkan pengiktirafan bahawa hak milik tanah adalah jelas,” ujarnya.

Tambah beliau, prinsip undang-undang juga telah lama diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sidek bin Haji Muhammad & 461 Ors v Government of the State of Perak & Ors [1982] 1 MLJ 313.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu menggariskan bahawa pemilik tanah tidak semestinya perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk mengambil kembali milikannya, dan boleh mengambil tindakan sendiri selagi tidak menggunakan kekerasan berlebihan yang melampaui keperluan munasabah.

“Sekiranya kelemahan demi kelemahan terus berlaku tanpa pembetulan yang serius, maka jangan terkejut jika lebih ramai rakyat hilang sabar dan memilih untuk bertindak sendiri kerana merasakan suara mereka tidak lagi didengari,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Mohamed Sukri turut menyatakan sokongan penuh beliau kepada aktivis kempen membantah rumah ibadat tidak sah, Tamim Dahri Abdul Razak.

Sehubungan itu, beliau mendoakan agar urusan Tamim dipermudahkan dan mengingatkan bahawa apa yang berlaku kepada aktivis tersebut tidak boleh dilihat secara terpisah daripada punca asalnya, iaitu kegagalan pihak berautoriti bertindak tegas.

Semalam, media melaporkan Tamim Dahri ditahan polis dan dijangka dibawa ke Mahkamah Selayang pagi tadi untuk proses permohonan reman.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Aidil Khalid yang menganggotai Pasukan Petugas Peguam Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GERAM) menerusi hantaran di Facebook beliau. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -