Import lebih wajar, hormat sensitiviti majoriti

Isu penternakan babi di Malaysia

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menegaskan, pendekatan kaedah pengimportan bagi memenuhi keperluan pihak bukan Islam adalah jalan tengah yang lebih harmoni serta menghormati sensitiviti masyarakat majoriti Muslim tanpa menafikan hak masyarakat lain.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pendekatan itu selari dengan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan pelaksanaan penternakan babi di mana-mana daerah di negeri ini.

“Kami melihat titah tersebut sebagai satu keputusan yang amat bijaksana, berhemah serta mengambil kira kepentingan umum khususnya aspek kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, isu cadangan penternakan babi secara besar-besaran menimbulkan kegusaran penduduk tempatan sejak sekian lama, terutamanya berkaitan pencemaran sumber air, pencemaran udara, risiko kesihatan awam dan kesan sosial kepada komuniti setempat.

“Negeri Selangor merupakan negeri berkepadatan tinggi dan menjadi sumber bekalan air utama kepada jutaan penduduk di Lembah Klang, justeru sebarang aktiviti yang berpotensi menjejaskan sumber air perlu dielakkan,” tegasnya.

Wan Hasrina menyeru Kerajaan Negeri Selangor agar menghormati dan melaksanakan titah Sultan dengan penuh tanggungjawab serta menghentikan polemik berpanjangan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang, mengelakkan sebarang provokasi dan bersama-sama memelihara keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negeri Selangor Darul Ehsan.

“Semoga Allah SWT memelihara Negeri Selangor dan memberkati pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” tambahnya.

Terdahulu, Sultan Selangor dalam titahnya menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana berpotensi mencemarkan udara, sumber air serta menimbulkan bantahan penduduk tempatan.

Baginda menekankan penternakan berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini kerana sumber tanah terhad dan nilai hartanah yang tinggi sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat.

Baginda menasihatkan kerajaan negeri memberi lesen import daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam dan menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan demi keamanan, keharmonian dan perpaduan masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -