
KOTA BHARU: Kelantan dan Terengganu berkongsi matlamat yang sama dalam membangunkan potensi belia serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berintegriti menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kepimpinan di negeri masing- masing.
Kesepakatan itu dizahirkan dalam kunjungan hormat delegasi Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu ke atas Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di Kota Darulnaim, di sini.
Pertemuan dua hala tersebut melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad bersama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim bersama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), di Kota Darul Naim
Zamakhshari berkata, Kelantan membangunkan potensi anak muda melalui U-BeS dan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), manakala Terengganu melaksanakan pendekatan tersendiri menerusi UBSNT dan Future Terengganu Leaders (FUTERA).
“Walaupun berbeza latar dan pendekatan, kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu membangunkan potensi belia serta melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan berintegriti,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan KFLI di Kelantan terbukti memberi impak signifikan terhadap pembangunan kepimpinan belia, manakala FUTERA di Terengganu memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan potensi generasi muda.
Beliau berkata, setiap inisiatif tersebut menyumbang kepada pembentukan ekosistem pembangunan belia yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi di negeri masing-masing.
“Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang sentiasa menjadi perhatian ramai.
“Insya-Allah kita boleh bersinergi bersama untuk memperkasakan negeri di Pantai Timur,” ujarnya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, kunjungan tersebut bertujuan menimba pengalaman Kelantan dalam aspek pengurusan negeri dan pembangunan belia.
Katanya, Ahli Dewan Negeri Belia berperanan sebagai generasi pelapis kepimpinan masa hadapan dan perlu memanfaatkan platform tersebut untuk menimba ilmu serta membina jaringan.
“ADN Belia bukan tiket untuk menjadi Yang Berhormat. Ini adalah tempat untuk kalian timba pengetahuan dan bina jaringan.
“ADN Belia merupakan generasi pelapis kepimpinan masa hadapan. Tahniah kepada semua atas sumbangan idea-idea untuk pembangunan belia Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri Belia dari kedua-dua negeri bagi menjayakan sesi perkongsian dan perbincangan model pembangunan belia.
Dalam pertemuan itu turut diadakan sesi meja bulat melibatkan wakil Ahli Dewan Negeri Belia Kelantan dan Terengganu bagi membincangkan model kepimpinan belia yang lebih berstruktur dan relevan dengan keperluan semasa.
Antara resolusi dicadangkan termasuk pelaksanaan program pembelajaran silang antara negeri dan luar negara, penganjuran Kongres Belia sebagai platform penyatuan gagasan anak muda, pengukuhan nilai jati diri serta budaya belia, pewujudan inisiatif Career Door bagi membuka laluan kerjaya, selain memperkasa tadbir urus belia secara lebih profesional. –HARAKAHDAILY 12/2/2026




















