Isu roboh kuil: Rakyat jadi mangsa kegagalan Kerajaan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penahanan aktivis masyarakat, Tamim Dahri Abdul Razak yang direman dua hari, susulan kejadian merobohkan struktur kuil tanpa kelulusan di atas tanah milik sebuah yayasan disifatkan sebagai ‘manifestasi kegagalan Kerajaan Negeri Selangor’.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, rakyat terpaksa menanggung akibat apabila pihak berkuasa gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil dan tegas.

- Advertisement -

Beliau membidas kenyataan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Paparaidu Veeraman yang mendakwa isu pencerobohan tanah atau perobohan struktur mesti ditangani melalui saluran rasmi dan mendapat kebenaran pihak berautoriti.

“Exco kata kena ikut saluran rasmi, kira pada dia apa yang dibuat oleh aktivis Tamim Dahri adalah salah. Namun, kita perlu lihat fakta sebenar apa yang berlaku.

“Yayasan Kubra yang diketuai oleh Ustaz Ismail Mina adalah sebuah yayasan kebajikan. Tanah mereka diceroboh sejak 2018 dan sebuah kuil dibina tanpa kelulusan.

“Mereka sudah cuba pelbagai saluran rasmi termasuk menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk membantu membersihkan tanah yang diceroboh,” katanya dalam satu hantaran di facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Islam mendedahkan jawapan balas MPS melalui surat bertarikh 14 Mac 2022 kepada Yayasan Kubra yang meminta pemilik tanah menyelesaikan sendiri isu tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa surat tersebut menyatakan ,’Pemilik perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini kerana kuil/pondok berada di dalam tanah hak milik.’

“Jadi, apabila Yayasan Kubra sebagai pemilik tanah mengambil tindakan seperti yang dicadangkan MPS, iaitu memanggil Tamim Dahri dan pasukannya untuk membersihkan tanah daripada struktur penceroboh, akhirnya Tamim pula ditangkap, direman dan kemungkinan didakwa.

“Pelik jalan ceritanya. Yang menceroboh tidak dikenakan tindakan, tetapi yang mempertahankan hak mereka pula dikenakan tindakan,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, kegagalan agensi kerajaan memberikan nasihat yang tuntas dan keengganan PBT mengambil tindakan penguatkuasaan menjadi punca rakyat tiada pilihan lain selain bertindak sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor kini sangat ketara dan menjadi punca kepada ketegangan yang berlaku.

“Saya sudah banyak kali sebut, Kerajaan Negeri Selangor kena bertindak berdasarkan undang-undang dan berlaku adil kepada semua pihak.

“Tidak kira masjid, kuil, tokong atau gereja, kalau melanggar undang-undang perlu dikenakan tindakan.

“Sikap ‘lembab’ kerajaan negeri menyebabkan hari ini rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -