Konflik dalaman BERSATU: PAS bimbang terpaksa gerak berasingan 

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bimbang parti itu tidak mempunyai pilihan lain selain bergerak secara berasingan daripada BERSATU pada pilihan raya akan datang sekiranya konflik dalaman parti berkenaan gagal diselesaikan. 

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS tidak mampu untuk terus bersama sebuah parti yang masih diselubungi konflik dalaman yang berpanjangan dan tidak berkesudahan. 

“Kita harapkan supaya BERSATU selesaikan cepat-cepat isu ini. Bagi pihak PAS, kami tidak boleh campur tangan dalam konflik dalaman BERSATU.  

“Cuma kita boleh mendoakan dan kita mengharapkan supaya ia diselesaikan dengan secepat mungkin,” ujarnya kepada media semalam. 

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, sekiranya konflik itu merencatkan perjalanan Perikatan Nasional (PN), PAS tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa membuat keputusan yang drastik 

Ahmad Fadhli berkata, penyelesaian masa depan PN terletak sepenuhnya kepada BERSATU dan bagaimana parti itu mahu menangani konflik dalaman yang sedang dihadapi. 

“Kami pihak PAS melihat dengan penuh kebimbangan kerana kita bimbang kalau BERSATU tidak dapat membuat penyelesaian terhadap konflik dalaman mereka, ia akan mengganggu pergerakan dan persiapan kita untuk menuju kepada pilihan raya,” katanya. 

Terdahulu pada Selasa, media tempatan melaporkan seramai 14 Ketua BERSATU Johor mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kegagalan memimpin parti. 

BERSATU dilaporkan terus dilanda krisis dalaman sejak beberapa bulan lalu susulan pertikaian kepimpinan antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin. 

Krisis berkenaan mencetuskan desakan daripada kedua-dua kem agar pemimpin masing-masing berundur, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen, termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang dipecat, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung. 

Tekanan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden BERSATU semakin memuncak susulan pertikaian dengan PAS berhubung jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang dilepaskannya pada 1 Januari lalu, namun masih belum diisi. 

Baru baru ini juga, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee secara terbuka menggesa Muhyiddin berundur, menjadikannya pemimpin kanan pertama parti berbuat demikian. 

Ahli Parlimen Beluran enam penggal itu dilaporkan mendakwa Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman parti dan cuba mengekalkan pengaruh politik dengan harapan kembali dilantik sebagai perdana menteri. 

Turut dilaporkan, Hamzah didakwa bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin BERSATU bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Muhyiddin, susulan empat aduan disiplin bertulis yang dikemukakan pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu. 

Notis panggilan kali kedua bertarikh 6 Februari itu menyatakan kegagalan menghadiri sesi berkenaan membolehkan Lembaga Disiplin membuat keputusan tanpa rujukan lanjut dan keputusan tersebut adalah muktamad. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -