PAS Perak santuni Kampung Baru Coldstream

Semarak perpaduan maknai Tahun Baharu Cina

Oplus_16908288
- Advertisement -

BIDOR: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Negeri Perak telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 sempena sambutan Tahun Kuda di Kampung Baru Coldstream, di sini.

- Advertisement -

Majlis telah berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibah di mana dapat dirasakan dengan keraian disertai lebih 100 penduduk setempat dari pelbagai kaum yang berhimpun.

Program ini juga menjadi medan penting memperkukuh hubungan serta membuktikan komitmen berterusan PAS dalam mendekati masyarakat majmuk melalui pendekatan mesra dan kebersamaan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa pimpinan PAS di mana telah meluangkan masa turun padang bermesra dan menyantuni masyarakat Tionghua yang bakal meraikan perayaan itu.

Antaranya Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat dan Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Turut bersama adala serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Ustaz Muhammad Zulfazli Zainal dan Yang Dipertua PAS Tapah, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.

Juga Pengerusi LPN PAS Perak, Ustaz Azmi Murat Yusof serta Ketua Unit Daerah Mengundi (UDM) Coldstream, Tan Hung Nyet.

Sebagai tanda keprihatinan sosial, penganjur turut memberi perhatian khusus kepada golongan warga emas apabila seorang penduduk berusia 98 tahun diraikan sebagai penerima tertua melalui penyampaian sumbangan khas.

Selain itu, setiap tetamu yang hadir menerima buah tangan berupa limau mandarin dan angpau sebagai simbol kesejahteraan dan perkongsian rezeki.

Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan suasana semakin bermakna apabila hadirin dihiburkan dengan alunan lagu Tahun Baharu Cina terbitan PAS bertajuk ‘Harmoni Lestari PAS for All’.

Rata-rata penduduk menyambut baik persembahan lagu tersebut, menyifatkannya sebagai bermesej positif dan sarat dengan nilai keamanan serta keharmonian sejajar dengan aspirasi masyarakat setempat.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dalam suasana mesra, sekali gus mencerminkan kesepaduan rakyat pelbagai kaum.

Penganjuran ini mempertegaskan bahawa semangat ‘PAS for All’ terus subur sebagai asas membina masyarakat harmoni, saling menghormati dan bersatu padu di negeri Perak. – HARAKAHDAILY 12/2/2026

- Advertisement -