
WANGSA MAJU: PAS Kawasan Wangsa Maju terus memperkukuh peranan sebagai jambatan perpaduan masyarakat majmuk apabila menganjurkan Program Muhibbah Tahun Baru Cina 2026 di Kampung Lee Kong Chuan, Jalan Gombak, di sini.
Program anjuran Lajnah Kebajikan dan Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Wangsa Maju itu memberi tumpuan kepada kebajikan golongan warga emas dengan seramai 50 penerima disantuni melalui sumbangan kuih kapit dan wang tunai.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan PAS Wangsa Maju dalam memastikan agenda kebajikan dan perpaduan digerakkan secara konsisten tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamad Daud berkata, program seumpama ini bukan sekadar simbolik perayaan, sebaliknya merupakan pendekatan praktikal dalam membina keharmonian dan kepercayaan antara komuniti.
“PAS Wangsa Maju sentiasa komited menyantuni seluruh lapisan masyarakat. Kita mahu memastikan kebajikan warga emas dan golongan memerlukan terus diberi perhatian di samping memperkukuh semangat muhibbah dalam masyarakat setempat,” ujarnya.
Turut hadir ialah wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Shawn Loh Sheng Nian, Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju Ustaz Beyhaqi Ramli serta saf kepimpinan PAS Kawasan Wangsa Maju yang bersama-sama turun padang menyampaikan sumbangan.

Program Muhibbah Tahun Baharu Cina ini juga menjadi manifestasi pendekatan politik matang dan sejahtera yang dibawa PAS dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat serta pengukuhan perpaduan nasional di peringkat akar umbi.
PAS Wangsa Maju menegaskan komitmen untuk meneruskan program seumpama ini sebagai platform merapatkan jurang masyarakat dan menyemarakkan nilai kebersamaan demi kesejahteraan Parlimen Wangsa Maju. – HARAKAHDAILY 21/2/2026




















