PAS dan derma

- Advertisement -

BEBERAPA hari ini, kita dikejutkan dengan beberapa berita berkenaan dengan isu penyelewengan dana yang dilakukan oleh beberapa orang atau kumpulan yang dikenali rakyat Malaysia sebagai ‘dipercayai’. SPRM dilihat sebagai menjalankan kerja mereka dengan membuat tangkapan bagi siasatan, bukan kerana sudah ditentukan bersalah. Harapnya ia tidak sama dengan adegan tangkapan terpilih kerajaan terdahulu.

Tidak sedikit yang akhirnya dikurangkan tuduhan, bukti atau saksi tidak cukup ataupun yang ditangkap itu akhirnya dibebaskan dari pertuduhan. Salahkah kita merasakan begitu? Pastinya tidak, kerana isu yang disebut orang sekarang berkenaan pemilikan saham Pesuruhjaya SPRM, tidak mendapat respon dari PMX. Sedangkan ketika berkempen dahulu, nama Azam Baki adalah dalam senarai buruan mereka, dengan isu yang sama.

Baiklah, kita tinggalkan teka-teki berkenaan Pesuruhjaya SPRM dan PMX. Kita masuk kepada maqasid perbincangan tajuk ini. Isu penyelewengan dana terutama atas nama agama ini adalah isu yang sejak turun temurun yang dilakukan oleh banyak pihak. Dosa dalam industri ini sangat menggiurkan, terlalu sukar untuk ditolak. Sememangnya wang adalah kunci kepada kemusnahan jika jatuh kepada tangan orang yang hilang imannya.

Namun sesuatu yang mungkin kita terlupa dalam membincangkan isu derma, sumbangan, infak atau zakat ini bahwa ia adalah kekuatan kepada pembinaan agama. Carilah dalam mana-mana zaman sekalipun, ini adalah tonggak kepada kekuatan agama. Zaman Islam miskin seperti di zaman Rasulullah, umat Islam diminta mendermakan harta benda mereka.

- Advertisement -

Sedekah itu menguatkan

Sehinggakan riwayat seorang Sahabat yang bersedekah segenggam kurma bagi menentang Rom dalam Perang Tabuk dan ditertawakan kaum munafik, dijelaskan Rasulullah bahawa sedekah Sahabat itu diterima Allah dan mereka menang di Tabuk. Manakala Abu Bakar, Uthman, Abdul Rahman al-Auf pula, sudah terlalu banyak kisah kedermawanan beliau dinukilkan. Akan tetapi, golongan kaya ini tidak ramai.

Jadi bagaimana keperluan ini dicukupkan? Ia adalah kerana keberkatan dari rezeki yang didermakan itu. Inilah yang tiada dalam perkiraan kaum munafik dan kafir. Bagi mereka untuk menang mesti banyak dan ramai.

Ramai tentera, banyak bekalan makanan, wang, senjata, maka mereka akan menang. Namun sayang, mereka tetap kalah dalam semua peperangan dengan kaum Muslimin yang serba kekurangan itu, kecuali di Uhud.

Akhirnya majoriti mereka memeluk Islam. Pun begitu, kejahilan mereka tetap menebal dalam Perang Hunain dan Taif yang mana mereka merasakan mereka tidak akan dikalahkan oleh musuh, saking ramainya tentera mereka waktu itu.

Merah wajah Rasulullah kerana sikap jahiliyah mereka itu. Lalu Allah memberi pengajaran kepada mereka dan hampir kalah diserang hendap, mereka bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah.

Kepercayaan bahawa keberkatan dari sedekah yang ikhlas ini kekal dalam jiwa mereka yang beriman. Dan bagi mereka yang mewarisi pemikiran munafik dan jahiliyyah, semua ini yang dinamakan berkat ini Adalah sesuatu yang karut. Logik mesti datang dahulu, tidak semudah itu kebesaran Allah yang melampaui logik akal akan mereka percayai.

Golongan agama di zaman British

Sebelum merdeka, di Tanah Melayu ini, ada golongan agama yang benar-benar berjuang menentang British untuk kemerdekaan. Dan pastinya mereka memerlukan dana bagi menjalankan rancangan mereka. Mereka mengutip derma dan infak dari penyokong-penyokong mereka yang miskin. Asalkan ikhlas, berapa sahaja yang diberikan, diterima dengan syukur.

Dan ada pula parti rakan British yang juga memerlukan dana bagi pengurusan dan pentadbiran mereka. Bagi mereka, sedekah dan infak ini tidak cukup. Lalu mereka mengadakan jualan Loteri Kebajikan. Tiada dalam kepala mereka berkenaan keberkatan, keredaan, dosa dan pahala.

Ini disebabkan pemikiran jahiliyyah yang bersarang dalam kepala mereka. Oleh itu, kekallah mereka hidup bersandarkan projek-projek dan hal-hal yang mungkar bagi kelangsungan parti mereka sehingga kini.

PAS ditubuhkan kerana kebencian ulama terhadap dosa yang dilakukan pimpinan Umno ketika itu yang mana mereka keluar dan menubuhkan parti Islam. PAS terus bergerak dengan derma, sedekah, zakat, sumbangan yang ikhlas dari ahli dan penyokong mereka. Dari sebuah parti yang miskin itu, mereka berjaya menawan dua buah negeri pada PRU 1959.

PAS kekal miskin dan bernafas dengan sedekah, infak, derma itu. Tetapi kejayaan terus mengalir berterusan sehingga ke hari ini. Apa sahaja projek atau perancangan yang mahu dibuat oleh pimpinan, ahli dan penyokong PAS bersedia untuk merealisasikan cita-cita itu dengan duit syiling dan duit kertas biru tua dan hijau. Jarang-jarang merah. Biru muda dan ungu lagilah payah untuk bersama warna yang lain.

Akan tetapi semua projek mendirikan masjid, surau, madrasah, kelas fardu ain, markas dan bantuan kebajikan, hampir tidak pernah gagal dilaksanakan. Semua itu sudah ratusan juta telah dikumpulkan.

Wang tidak banyak, tetapi projek boleh berjaya. Sekiranya anda hairan, baca semula perenggan di atas dan jangan ada pemikiran jahiliyah atau munafik dalam mempercayai kejayaan PAS ini.

Mana duit? Duit dalam poket

Jawapan keramat almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib jika mahu memulakan sesuatu perancangan yang PAS luluskan apabila ditanya ahli, di mana mahu cari duit ialah ‘duit yang ada dalam poket kita’.

Maksudnya sedekah, derma dan infak adalah sumbangan utama kepada projek yang terkait dengan Islam. Banyak atau sedikit, dermalah sahaja kerana di sana ada keberkatannya.

Apa formula terhebat PAS dalam isu ini? Sifat amanah yang ada dalam jiwa ahli-ahli PAS yang memegang tugasan ini. Bukan tidak ada yang berbuat serong, ada, tetapi mereka akan segera dikeluarkan apabila dikesan.

Tiada lagi sehingga kini kes pecah amanah yang besar dalam PAS kerana ia adalah aib yang sangat besar jika dilakukan. Ini disebabkan para pimpinan PAS sangat menjaga amanah mereka, maka ahli dan penyokong PAS akan menuruti akhlak pimpinan PAS.

Kisah yang sering didengar oleh semua orang yang pemimpin Islam yang beramanah akan tinggal di rumah-rumah biasa dan tidak mengambil hak rakyat, bukan sekadar mendengar cerita. Tetapi semua orang boleh melihat sendiri sikap pimpinan PAS sebagai bukti dan saksi hidup yang melakukan hal yang sama, tidak mengambil hak rakyat.

Tetapi manusia yang berhati hitam akan selalu cuba mengaitkan penyelewengan dengan pimpinan PAS, kerana mereka tidak mampu melakukan kesucian, maka mereka mengotorkan orang lain yang bersih.

Lihat fitnah RM90 juta dan kes 1MDB dahulu. Dua Ketua Pesuruhjaya SPRM menafikan PAS menerimanya, tetapi PMX masih membaca salah PAS pada kertas terlebih karbon itu.

Insya-Allah selagi PAS berada atas landasan yang betul, infak, sedekah, derma sumbangan, zakat mahupun wakaf, akan menjadi kekuatan PAS kerana ia diberikan dengan hati yang ikhlas oleh mereka yang lemah, kaya, miskin, kuat yang mengharapkan keredaan Allah. Oleh kepercayaan ini, PAS semakin kuat membantu orang-orang susah.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Februari 2026 – HARAKAHDAILY 11/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -