Prestasi pendidikan Malaysia antara terburuk di dunia

- Advertisement -

KUANTAN: Prestasi pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa menunjukkan kemerosotan serius apabila negara ini disenaraikan antara lima negara paling corot dunia dalam pencapaian pelajar bagi subjek teras seperti matematik, sains dan bacaan.

Timbalan Pengarah Minda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, dapatan tersebut berdasarkan laporan penilaian antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi tahun 2022.

- Advertisement -

Menurut beliau, kedudukan Malaysia bukan sahaja berada di bawah purata dunia, malah terus merosot sejak lebih sedekad lalu tanpa sebarang peningkatan ketara.

“Sejak 2010, prestasi pendidikan negara tidak menunjukkan pemulihan. Malah, pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik, sains dan bacaan semakin merudum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Krisis Akhlak Negara: Kegagalan dan Kesan Kepada Ummah pada Townhall Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) yang berlangsung di Dewan Orkid, BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mohkota, di sini, baru-baru ini.

Anuar berkata, bagi PISA 2022, Malaysia berada dalam kelompok empat hingga lima negara paling merosot di dunia bagi ketiga-tiga komponen penilaian utama.

Lebih membimbangkan, katanya, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN turut menunjukkan kemerosotan apabila negara seperti Vietnam dan Cambodia kini mengatasi Malaysia dari segi pencapaian akademik.

“Untuk matematik sahaja, skor Malaysia merosot sebanyak 32 mata berbanding tahun 2018, menjadikannya kejatuhan paling besar dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Beliau menegaskan, kemerosotan itu berlaku walaupun Malaysia merupakan antara negara yang memperuntukkan perbelanjaan tertinggi untuk sektor pendidikan di rantau ini.

“Kita gbelanja besar untuk pendidikan, lebih tinggi daripada beberapa negara maju. Namun, hasilnya tidak setimpal. Ini menunjukkan wujud kelemahan serius dalam keberkesanan pelaksanaan dasar pendidikan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, kelemahan sistem pendidikan bukan sekadar isu akademik, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap masa depan negara dan daya saing generasi muda.

“Anak-anak kita hari ini akan bersaing dengan tenaga kerja dari negara ASEAN lain, termasuk di syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia. Jika prestasi pendidikan terus lemah, kita akan ketinggalan di negara sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya satu penilaian semula secara menyeluruh terhadap dasar pendidikan negara dengan berpaksikan data dan realiti semasa, bukan persepsi atau retorik semata-mata. – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -