
KUANTAN: Kesepakatan Wanita Tanah Air (K.I.T.A) menggesa kerajaan agar melakukan pemerkasaan secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara supaya kembali berteraskan pembinaan insan berakhlak, berjati diri dan seimbang, bukan semata-mata mengejar pencapaian akademik.
Penasihat Majlis Pengerusi K.I.T.A, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, krisis akhlak yang semakin ketara dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam hari ini berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan membentuk sahsiah dan nilai kemanusiaan sejak awal.
Menurutnya, pendidikan yang terlalu bersifat sekular telah melahirkan generasi cemerlang dari sudut akademik, namun rapuh dari aspek akhlak dan jati diri, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara.
“Persoalannya, generasi apakah yang mahu kita tinggalkan di negara yang kita cintai ini. Pendidikan sepatutnya membina manusia, bukan melahirkan ‘robot akademik’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Townhall 2.0 K.I.T.A yang diadakan di Dewan Orkid, BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mohkota, di sini, baru-baru ini.
Beliau menegaskan, pendidikan Islam juga tidak wajar terus diletakkan perlu dijadikan teras yang diintegrasikan dalam keseluruhan kurikulum nasional bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak, berjati diri dan bertanggungjawab berasaskan tauhid, nilai Islam sejagat dan maqasid syariah.
Sehubungan itu, katanya, K.I.T.A mengemukakan tujuh resolusi pendidikan yang menggesa kerajaan memperkukuhkan sistem pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Negara dengan matlamat melahirkan insan seimbang dari segi ilmu, akhlak, kemahiran dan jati diri.
“Antara resolusi utama ialah pemerkasaan sistem pendidikan berteraskan falsafah pendidikan negara, memperkasakan pendidikan Islam secara berintegrasi dalam kurikulum nasional, mengembalikan fokus pendidik kepada kerja hakiki bukan dibebankan dengan tugas pentadbiran,” jelasnya.
Selain itu, ujar beliau, K.I.T.A turut menggesa kerajaan memastikan persekitaran pendidikan yang adil, selamat dan kondusif dengan mengurangkan jurang pendidikan antara wilayah dan latar sosioekonomi, di samping memberi perhatian serius kepada kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental pelajar.
Tambah beliau, kerajaan juga disarankan memperkemas tadbir urus dan penyelarasan dasar pendidikan dan memperkasakan peranan wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan sebagai rakan strategik pendidikan.
“Resolusi ini mencerminkan komitmen bersama bahawa pendidikan adalah amanah besar, bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi proses membina manusia,” jelasnya lagi.
Nuridah juga menyatakan, kejayaan sebenar pendidikan terletak pada lahirnya generasi yang berilmu, berakhlak, berintegriti dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu, tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita semua. Yang paling utama bagaimana untuk memastikan dasar dapat dilaksanakan. Sudah 60 tahun lebih, tetapi gagal dilaksanakan dengan berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











