
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memuji tahap disiplin tinggi peserta program RXZ Forever Legend apabila tiada sebarang kemalangan dilaporkan sepanjang penganjuran program tersebut di RTC Tunjong pada 6 dan 7 Februari lalu.
Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, seramai 50,000 peserta menyertai program berkenaan dan sikap berhemah komuniti penunggang RXZ yang mematuhi peraturan jalan raya menjadi faktor kelancaran program.
Menurutnya, pergerakan peserta yang memasuki negeri ini sejak Khamis malam hingga Jumaat berjalan dalam keadaan teratur tanpa sebarang unsur negatif.
“Malah pergerakan peserta yang memasuki negeri ini sejak Khamis malam hingga Jumaat berjalan dalam keadaan teratur tanpa sebarang unsur negative dan ini mendapat pujian dari pihak JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama rakan media arus perdana menerusi program Sembang Santai di sebuah kafe, di sini, semalam.
Program yang julung-julung kali diadakan itu telah dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, penganjuran program tersebut akan dijadikan acara tahunan di Kelantan berikutan sambutan menggalakkan serta kerjasama baik daripada semua pihak.
“Alhamdulillah, kita ucapkan tahniah kepada semua peserta dan insya-Allah program ini akan diteruskan sebagai acara tahunan di negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Firdaus yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, pihaknya berhasrat membawa budaya politik baharu yang lebih terbuka dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk media dan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Kita di peringkat akar umbi bukan sahaja berurusan dengan kerajaan, tetapi juga media, rakyat dan pelbagai kelompok masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, media merupakan rakan strategik penting yang perlu diraikan dan didekati bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat berjalan dengan lebih berkesan.
Dalam sesi tersebut juga, beberapa pimpinan Pemuda PAS Kelantan turut diperkenalkan termasuk Timbalan Ketua Pemuda, barisan jawatankuasa harian serta wakil kawasan.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Muhammad Yatimin Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Pemuda PAS Kelantan atas inisiatif mengadakan sesi pertemuan bagi mengukuhkan hubungan antara media dan kepimpinan pemuda.
Beliau menyifatkan sesi itu sebagai platform penting untuk membina jaringan komunikasi yang lebih tersusun dan berkesan antara media dan kepimpinan pemuda.
Beliau menyatakan, sebelum ini komunikasi banyak dilakukan melalui aplikasi WhatsApp khususnya bagi mendapatkan maklum balas isu semasa, namun pertemuan secara bersemuka membuka ruang untuk saling mengenali peranan masing-masing dengan lebih dekat.
“Alhamdulillah hari ini kita boleh jumpa mata dan mengenali antara satu sama lain. Ini sebenarnya titik tolak untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri, Pemuda dan pihak media,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tugasan media sering tidak menentu dan memerlukan sumber rujukan yang jelas serta mudah dihubungi bagi mendapatkan maklumat tepat.
“Kerja media ini tidak menentu. Kadang-kadang ada kes dan isu mendadak. Jadi kita perlu kenal siapa yang boleh dirujuk di peringkat Pemuda,” katanya. –HARAKAHDAILY 11/2/2026




















