
KUALA LUMPUR: Pendirian Sultan Selangor berkenaan isu ternakan babi adalah selari dengan prinsip Islam yang menolak kemudaratan, di samping mengambil kira kepentingan awam dan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSel), Rumaizi Ahmad berkata pihaknya menyokong pendirian Baginda Sultan bahawa penternakan babi tidak wajar dilaksanakan di mana-mana kawasan di Negeri Selangor.
“(Penternakan babi di Selangor tidak wajar) Khususnya apabila ia berpotensi menjejaskan alam sekitar, sumber air, kesejahteraan awam serta keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, ujar beliau, PUMSel menyeru semua pihak agar menghormati titah dan pendirian Baginda, serta bersama-sama memelihara keamanan, kestabilan dan kesejahteraan Negeri Selangor.
Terdahulu, Sultan Selangor dalam titahnya menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor kerana berpotensi mencemarkan udara, sumber air serta menimbulkan bantahan penduduk tempatan.
Baginda menekankan penternakan berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini kerana sumber tanah terhad dan nilai hartanah yang tinggi sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat.
Baginda menasihatkan kerajaan negeri memberi lesen import daging babi bagi menampung keperluan orang bukan Islam dan menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan demi keamanan, keharmonian dan perpaduan masyarakat. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











