
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menghulurkan bantuan bekalan air kepada Ranhill SAJ, Johor susulan krisis gangguan bekalan air yang berlaku di negeri tersebut baru-baru ini.
Bantuan tersebut dilaksanakan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Antara Operator Air yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak tahun 2022, bertujuan memberi bantuan segera kepada operator air negeri yang berhadapan dengan krisis bekalan air.
Dalam kenyataannya AKSB berkata, bantuan berkenaan dilaksanakan sebagai tanda solidariti antara operator air seluruh negara bagi memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara ketika berdepan gangguan bekalan.
Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan air di Johor berlaku akibat kemerosotan paras sumber air mentah secara mendadak di Empangan Machap yang menjejaskan bekalan air kepada 31,081 akaun pengguna di daerah Kluang dan Pontian.
Sehubungan itu, AKSB telah menggerakkan dua lori tangki air bersama empat kakitangan ke Negeri Johor pada 9 Februari 2026 bagi membantu operasi pembekalan air di kawasan terjejas.
“Kerjasama sukarela dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara operator air seluruh negara ini dilaksanakan secara berterusan, termasuk ketika Negeri Kelantan khususnya AKSB berhadapan dengan krisis bekalan air sebelum ini apabila operator air dari negeri lain turut menghulurkan bantuan.
“Kerjasama antara operator air tersebut mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan saling membantu demi memastikan kebajikan pengguna sentiasa diutamakan,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 11/2/2026











