Pemungutan khairat tanpa kebenaran akan kena tindakan

Zulkifli (tengah) pada sidang media di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pada 11 Januari 2026.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan mempertingkat penguatkuasaan terhadap kegiatan pemungutan khairat tanpa kebenaran bagi membendung penyalahgunaan dana awam di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali berkata, semua individu, kumpulan atau pertubuhan yang berhasrat menjalankan aktiviti kutipan hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama.

- Advertisement -

Menurutnya, kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan merupakan satu kesalahan di bawah subsyeksen 90 (4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001.

“Mana-mana pihak yang ingin menjalankan pemungutan khairat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Jika didapati menjalankan kutipan tanpa kelulusan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ketetapan Kadar Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M serta Prestasi Kutipan Dan Agihan Zakat Tahun 2025 ii dan Terengganu Perkasa Penguatkuasaan Enakmen, Pungutan Khairat Tanpa Kebenaran di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, disini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Zulkifli berkata, sepanjang tahun 2025 sebanyak 23 kes pemungutan khairat tanpa kebenaran telah diambil tindakan dan didakwa di Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu, katanya, MAIDAM dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu akan memperketat pemantauan pada tahun 2026 bagi memastikan semua aktiviti kutipan dibuat mengikut saluran sah.

“Setiap pihak yang memperoleh kelulusan perlu mematuhi prosedur ditetapkan termasuk menunjukkan bukti kebenaran seperti kod QR yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2026

- Advertisement -